KOTA KINABALU: Parti Harapan Rakyat Sabah menyokong penuh pendirian Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang mengumumkan kesediaan GRS untuk bertanding secara solo dalam Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN-17).
Setiausaha Agungnya, Christy Chok Lee Lui berkata, keputusan tersebut mencerminkan aspirasi sebenar rakyat Sabah yang mahukan masa depan negeri ditentukan oleh parti-parti tempatan tanpa campur tangan luar.
“Sabah harus terus dipimpin oleh anak jati dan parti tempatan. Ini adalah impian rakyat – untuk menentukan hala tuju dan pembangunan negeri dengan tangan kita sendiri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menegaskan bahawa mana-mana pihak yang tidak sehaluan dengan keputusan tersebut berhak mempunyai pandangan tersendiri, namun itu tidak seharusnya menghalang usaha gabungan tempatan meneruskan perjuangan demi kepentingan negeri.
“Jika ada pihak yang tidak bersetuju atau tidak menghormati aspirasi ini, itu hak mereka. Apa yang penting ialah kita terus melangkah ke hadapan,” ujarnya.
Christy menambah, kepimpinan Hajiji telah membuktikan keupayaan GRS dalam membuat keputusan penting berkaitan pembangunan dan ekonomi negeri tanpa perlu menunggu restu daripada pihak luar.
“Inilah bukti bahawa Sabah mampu berdikari dengan kekuatan sendiri. Kami percaya, keputusan untuk bertanding secara solo adalah tepat dan selaras dengan semangat memperjuangkan otonomi negeri,” katanya.
Parti Harapan Rakyat Sabah yang merupakan parti komponen dalam GRS turut mengalu-alukan sebarang bentuk kerjasama politik dengan mana-mana parti yang berkongsi hala tuju serta aspirasi yang sama, demi memastikan kestabilan dan kemajuan negeri.
“Jika ada parti yang sehaluan dan sudi bekerjasama, kami terbuka dan mengalu-alukannya. Bersatu kita teguh, bercerai kita lemah. Rumah kita, kita jaga bersama,” jelas Christy.-pr/BNN