TUARAN: Suasana penuh mesra dan muhibah menyelubungi Dewan Seri Sulaman pada Sabtu sempena Majlis Ulang Tahun Kelahiran Ke-70, Ketua Menteri, Datuk Seri
Panglima Haji Hajiji Haji Noor yang disambut dengan sederhana, penuh kesyukuran dan
penghargaan.

Majlis itu yang dihadiri oleh pemimpin kerajaan negeri, wakil-wakil rakyat, ketua-ketua
jabatan serta pemimpin masyarakat diadakan bagi meraikan ulang tahun kelahiran
pemimpin kesayangan rakyat, yang telah banyak berjasa dalam membangunkan negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Sambutan itu, Datuk Abdul Kassim Razali dalam
ucapannya berkata, bukan mudah mendapat izin daripada Hajiji bagi menganjurkan
Majlis Ulang Tahun Kelahiran yang sederhana ini, kerana menjadi kebiasaan beliau
meraikan hari istimewa itu bersama keluarga dan rakan-rakan terdekat.

Katanya, acara sambutan ini menjadi simbol penghargaan dan pengiktirafan terhadap
kepimpinan Hajiji yang terus komited membawa perubahan positif demi kemajuan
negeri dan kesejahteraan rakyat.

Majlis itu turut diserikan dengan persembahan pentas khas mengenai kisah hidup Hajiji,
tarian kebudayaan, nyanyian dan jamuan yang membangkitkan semangat kekeluargaan
dan kebersamaan antara pemimpin dan rakyat.-pr/BNN