TAWAU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menghadiri Majlis Kesyukuran dan Doa Selamat di Dewan Terbuka, Taman Sri Balung, Tawau, di sini malam
tadi.
Beliau turut menyempurnakan Program Outreach Ketua Menteri bersama badan bukan
kerajaan (NGO), penyerahan kunci Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) dan ramah mesra
bersama penerima Program Sentuhan Kasih Rakyat atau SYUKUR bagi kawasan Dewan
Undangan Negeri (DUN), Balung sempena majlis berkenaan.
Majlis ini diadakan sebagai tanda kesyukuran atas kejayaan pelaksanaan pelbagai inisiatif
yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri selaras Hala Tuju Sabah Maju Jaya (Pelan
Pembangunan SMJ 1.0: 2021-2025).
Antara pengisian utama program ialah Program Outreach Ketua Menteri bersama NGO dan
usahawan muda, ilham Ketua Menteri sendiri yang digerakkan oleh Institut Kerjasama
Kerajaan dan Rakyat (IKRAR), menyasarkan 5,000 peniaga muda luar bandar. Sebanyak 100 penerima dari DUN Balung terpilih bagi program ini.
Selain itu, penyerahan kunci Rumah Mesra SMJ kepada 10 penerima dari DUN Balung;
sumbangan khas berbentuk tiga (3) unit van jenazah kepada masjid tempatan; sumbangan
Hub Pemulihan, Sri Stella sebanyak RM1 juta dan sumbangan Koridor Respiratori Pantai
Timur, Hospital Tawau (RM500,000).
Ketua Menteri telah menyempurnakan penyampaian sumbangan kepada semua penerima.
Kerajaan Negeri komited dalam terus merangka dan melaksanakan pelbagai program
berimpak tinggi, mampan dan inklusif yang memberi manfaat langsung kepada rakyat.
Sempena majlis itu, beliau turut mengambil peluang beramah mesra dengan penerima
SYUKUR DUN Balung. Seramai 234 daripada 665 penerima SYUKUR DUN Balung
menghadiri program ini.-pr/BNN