KOTA KINABALU: Majlis Penasihat Buruh Sabah (SLAC) yang baru ditubuhkan akan membantu melindungi hak pekerja serta mengharmonikan hubungan tripartit antara kerajaan, majikan dan pekerja di Sabah, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor. Beliau berkata, penubuhan SLAC akan memastikan hak dan kebajikan pekerja di Sabah terjaga dan terbela, selain membantu majikan menjalankan perniagaan dengan lebih teratur dan tersusun.
Oleh itu, beliau berharap penubuhan SLAC ini akan menjadi platform kepada majikan dan pekerja untuk berkongsi pandangan dan memberi cadangan berkaitan perkara-perkara perburuhan kepada kerajaan agar dasar-dasar dan perundangan yang lebih sesuai dengan industri negeri Sabah dapat diterjemahkan.
Berucap pada majlis pelantikan ahli tetap SLAC dan mesyuarat pertama yang berlangsung di Shangri-La Tanjung Aru hari ini, Hajiji berkata, peranan SLAC adalah untuk memperkukuh hubungan antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan melalui Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri serta Kementerian Sumber Manusia Persekutuan. Ucapannya disampaikan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Dr Ariffin Arif. Beliau menambah, perbincangan tripartit antara kerajaan, majikan dan pekerja ini adalah selaras dengan Konvensyen Standard Buruh Antarabangsa Perundingan Tiga Pihak 1976 No.144.
Hajiji berharap ahli majlis yang terdiri daripada 16 wakil kerajaan, 16 daripada persatuan majikan dan 16 daripada kesatuan pekerja dapat memainkan peranan mereka serta memberi input berharga kepada kerajaan demi pembangunan ekonomi Sabah. “Setiap keputusan yang dibuat dalam mesyuarat SLAC akan dibawa kepada perhatian Kerajaan Negeri dan Persekutuan untuk tindakan lanjut,” katanya.
Beliau juga menyatakan bahawa pengumuman Perdana Menteri semasa sambutan Hari Pekerja Peringkat Kebangsaan tahun ini merupakan titik tolak penting dalam pentadbiran buruh di Sabah. Ia akan memastikan isu-isu berkaitan seperti pembasmian buruh paksa, diskriminasi di tempat kerja dan gangguan seksual; perlindungan wanita dan kanak-kanak; pengurusan pekerja bukan pemastautin; waktu kerja fleksibel; perumahan dan penginapan; serta kemudahan pekerja dapat terus diperkasa.
Hajiji berkata, penyelesaian kepada semua isu berkaitan pekerja akan memberi impak positif kepada Sabah, terutamanya dalam sektor ekonomi kerana tenaga kerja yang stabil dan keberkesanan sistem perundangan buruh adalah elemen penting dalam menarik pelabur ke negeri ini. “SABAH MAJU JAYA,” katanya.
Ketua Menteri menegaskan, untuk memastikan pelaksanaan pindaan Akta Ordinan Buruh Sabah (Pindaan) 2025 berjalan lancar, Kerajaan Negeri akan terus mempertingkat kerjasama dengan semua pihak berkepentingan. “Saya juga menyeru semua majikan dan pemain industri untuk menyambut baik inisiatif ini dan melaksanakan tanggungjawab dengan penuh patriotik demi kepentingan bersama,” katanya.
Beliau menambah, kerjasama antara kerajaan, majikan dan pekerja sangat penting dalam pembentukan SLAC bagi memastikan Agenda Pekerjaan Bermaruah (Decent Work Agenda), yang merupakan aspirasi utama Pertubuhan Buruh Antarabangsa, dapat direalisasikan. “Di Sabah, aspirasi ini selaras dengan pembangunan negeri yang menekankan keseimbangan antara pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat. Menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan prinsip Agenda Pekerjaan Bermaruah bukan sekadar slogan, tetapi diterapkan dalam setiap dasar, amalan dan tindakan,” katanya.
Hajiji turut menyambut baik langkah Kerajaan Persekutuan menaikkan kadar gaji minimum bulanan daripada RM1,500 kepada RM1,700 melalui Perintah Gaji Minimum 2024. “Kita mesti memastikan setiap pekerja di Sabah menerima gaji yang setimpal dengan sumbangan mereka,” ujarnya. Beliau juga mengucapkan tahniah kepada Jabatan Tenaga Kerja Sabah atas pelaksanaan aktiviti penguatkuasaan melalui Pemeriksaan Berkanun, Siasatan Aduan dan Pengendalian Kes Mahkamah Buruh tahun lalu yang memberi manfaat kepada 13,487 pekerja melibatkan jumlah RM22.2 juta.
Selain itu, beliau menegaskan keutamaan harus diberikan kepada keselamatan dan kesihatan serta memperkukuh perlindungan sosial pekerja melalui Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Sistem Insurans Pekerjaan. Langkah lain termasuk meningkatkan peluang pembangunan kemahiran dan kerjaya, serta menegakkan kebebasan bersuara dan hak berpersatuan melalui kesatuan sekerja.
“Undang-undang buruh bukanlah satu bentuk tekanan terhadap majikan tetapi satu mekanisme untuk memastikan kelangsungan dan keharmonian hubungan pekerjaan. Apabila pekerja dilindungi dan dihargai, produktiviti akan meningkat dan ekonomi akan berkembang maju. Inilah falsafah yang ingin kita terapkan melalui SLAC,” katanya.-pr/BNN