KOTA KINABALU: Sabah kini berada di landasan yang kukuh menuju kemajuan dan kemakmuran hasil pelaksanaan Halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang diterajui kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), kata mantan Timbalan Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Sabah, Aksyah Haji Nasrah.
Katanya, Halatuju SMJ yang dilancarkan di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor, telah membuktikan bahawa perancangan dan pelaksanaan yang tersusun mampu membawa impak besar kepada pembangunan negeri.
“Buat pertama kali dalam sejarah moden Sabah, negeri ini ditadbir oleh gabungan parti-parti tempatan yang benar-benar berpaksikan kepada suara dan keperluan rakyat. Hasilnya, kita menyaksikan pembangunan yang lebih terancang, sistematik dan berfokus,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Aksyah berkata, SMJ bukan sekadar slogan pentadbiran, sebaliknya merupakan gagasan yang digerakkan dengan mekanisme jelas serta disesuaikan dengan realiti dan aspirasi rakyat Sabah.
“Setiap dasar dan program yang digerakkan oleh kerajaan GRS mempunyai hala tuju yang berpijak di bumi nyata – bukan retorik kosong. Ia menyentuh aspek pembangunan infrastruktur, pengukuhan ekonomi, kebajikan sosial dan pertumbuhan hasil negeri yang berterusan,” katanya.
Beliau turut menepis dakwaan segelintir pihak yang menuduh GRS sekadar menumpang atas usaha terdahulu dalam isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), dan tidak membawa sebarang pencapaian sebenar.
“Mengurus pelaksanaan dasar adalah jauh lebih mencabar berbanding menuntutnya. GRS telah membuktikan keupayaan itu dengan pendekatan berfokus dan inklusif, bukan hanya menjual idea atau retorik politik di pentas ceramah,” katanya.
Menurutnya, kemajuan yang dicapai kini bukan sesuatu yang berlaku secara kebetulan, sebaliknya hasil kepimpinan yang cekap dan ikhlas dalam mengurus negeri.
“Walaupun ada yang memperlekehkan SMJ, hakikatnya pembangunan Sabah semakin tersusun. Banyak projek infrastruktur sedang giat dilaksanakan, ekonomi negeri semakin bersistem dan hasil negeri terus meningkat,” ujar beliau.
Aksyah menambah, bahawa Sabah tidak memerlukan pemimpin yang hanya mahir mencipta sensasi politik, sebaliknya memerlukan tokoh berwawasan dan rajin bekerja demi kemakmuran rakyat.
“Rakyat perlu celik dalam menilai. Jangan terpedaya dengan pemimpin yang sekadar tampil dengan gaya retorik dan dramatik tanpa asas kukuh dalam kepimpinan dan pentadbiran,” katanya.
Beliau menyeru rakyat Sabah untuk terus menyokong Halatuju SMJ dan bersama-sama kerajaan negeri menuju destinasi sebenar yang diimpikan oleh seluruh rakyat.
“Sabah hanya mampu maju jika dipimpin oleh mereka yang benar-benar berjuang untuk rakyat. SMJ adalah destinasi kita – destinasi rakyat Sabah,” katanya. -pr/BNN