KOTA KINABALU: Program Latihan Kepimpinan Belia Islam ASEAN selama sembilan
hari yang dianjurkan bersama oleh Majlis Da’wah Islamiah Serantau Asia Tenggara dan
Pasifik (RISEAP), Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) dan Majlis NGO Islam
Sabah, akan diadakan di sini mulai 16 Ogos.
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor telah diberi taklimat mengenai
perkara ini oleh Setiausaha Agung Kehormat RISEAP, Dato Haji Mohamad Marzuki
Mohamad Omar semasa kunjungan hormat di Menara Kinabalu di sini hari ini.
Mohamad Marzuki memaklumkan kepada Ketua Menteri bahawa antara objektif
program ini adalah untuk membina kompas moral dalaman yang diperlukan untuk
kepimpinan Islam, menyediakan alat dan teknik untuk komunikasi yang berkesan,
penyelesaian konflik dan membuat keputusan, serta mempromosikan keterangkuman
dan rasa hormat di kalangan belia dari pelbagai negara ASEAN.
Selain itu, program ini juga direka untuk mendorong penglibatan proaktif dalam
pembangunan masyarakat dan inisiatif dakwah serta mengukuhkan hubungan di
kalangan belia untuk membina komuniti ASEAN yang berdaya tahan, aman dan
beerwawasan.
Mohamad Marzuki diiringi oleh Yang Di-Pertua USIA Datuk Sapawi Ahmad.-pr/BNN