KOTA KINABALU: Ketua Bahagian Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) N.6 Bandau, Ardino Diris menyuarakan kebimbangan terhadap tindakan sekumpulan mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengambil tindakan terhadap semua wakil rakyat Sabah yang dikaitkan dengan satu dakwaan skandal sabotaj.

Beliau menegaskan, tindakan menggesa SPRM bertindak atas desakan tertentu adalah tidak wajar kerana badan tersebut merupakan institusi bebas yang berlandaskan prosedur siasatan dan tatacara perundangan.

“Adalah tidak wajar untuk mana-mana pihak, termasuk kumpulan mahasiswa, mengarahkan SPRM bertindak atas dasar desakan atau tekanan politik.

“SPRM mempunyai mekanisme tersendiri dalam menjalankan siasatan dan tidak boleh dipengaruhi oleh sentimen luar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Ardino, sebarang siasatan perlu dijalankan secara profesional tanpa tekanan politik kerana tindakan tergesa-gesa bukan sahaja menjejaskan kredibiliti SPRM, malah mencalar integriti sistem keadilan negara.

Beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap kemungkinan wujudnya campur tangan pihak berkepentingan dalam mempengaruhi kumpulan mahasiswa terbabit.

“Saya amat risau kemungkinan kumpulan mahasiswa ini telah diperalat oleh pihak tertentu demi agenda politik. Jika benar, ia adalah tindakan tidak bertanggungjawab dan mencerminkan politik tidak matang,” tegasnya.

Ardino yang juga Bendahari Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menegaskan bahawa mahasiswa seharusnya diberi ruang untuk fokus kepada pembelajaran dan pembangunan diri, bukannya dijadikan alat bagi memenuhi kepentingan politik mana-mana pihak.

Dalam masa yang sama, beliau menasihati golongan mahasiswa supaya berfikir secara rasional dan tidak mudah dipengaruhi oleh hasutan pihak luar.

“Mahasiswa perlu bijak menilai dan memahami bahawa mereka akan mempunyai peranan penting apabila tiba masanya nanti – iaitu melalui saluran sah dalam sistem demokrasi seperti pilihan raya,” katanya.

Beliau turut menyeru semua pihak agar sama-sama memelihara kebebasan akademik dan memastikan generasi muda tidak terheret dalam percaturan politik yang tidak sihat.

“Kita mesti memastikan pelajar universiti kekal bebas, berfikir secara kritis dan tidak menjadi mangsa manipulasi politik sempit,” tegasnya. – pr/BNN