KOTA KINABALU: Mantan Timbalan Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Sabah, Aksyah Haji Nasrah menyifatkan pengiktirafan IBR ASEAN Award 2024 kepada Kerajaan Negeri Sabah sebagai pencapaian besar dan bukti kejayaan sebenar pentadbiran Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Menurut beliau, kejayaan Sabah diumumkan sebagai Kerajaan Negeri Paling Cemerlang 2024 oleh Sekretariat International Business Review ASEAN Award bukan sahaja membanggakan, malah merupakan satu tamparan hebat kepada naratif negatif yang selama ini dimainkan oleh pembangkang.

“Anugerah ini membuktikan bahawa dakwaan kononnya GRS-PH Plus adalah ‘kerajaan gagal’ ternyata tidak berasas.

“Sebaliknya, pasukan profesional dari luar telah mengiktiraf pencapaian kerajaan Sabah hari ini sebagai cemerlang dan teratur,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Aksyah menekankan bahawa di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, GRS berjaya melaksanakan pelbagai projek dan program pembangunan secara menyeluruh – meliputi aspek fizikal dan bukan fizikal – yang kini telah mula dinikmati oleh rakyat.

Beliau yang kini menyokong dan Pro-GRS turut memuji pendekatan pentadbiran Hajiji yang dilihat teliti, sistematik dan berpandangan jauh.

“Kejayaan ini dicapai hasil daripada mekanisme pelaksanaan yang bersistem dan terancang. Projek-projek yang diwarisi dalam keadaan bermasalah turut berjaya diselesaikan, walaupun secara perlahan, tetapi tetap berjaya,” katanya.

Katanya, GRS bukan sahaja berjaya melaksanakan pembangunan, tetapi turut mencatatkan peningkatan hasil negeri saban tahun melalui dasar ekonomi dan kewangan yang mampan serta meyakinkan pelabur.

“Saya percaya, pencapaian Sabah Maju Jaya (SMJ) ini tidak berlaku secara kebetulan. Ia hasil kepimpinan yang stabil, dasar yang konsisten dan pasukan pentadbiran yang berfokus,” jelasnya.

Mengulas mengenai reaksi pembangkang terhadap pengiktirafan tersebut, Aksyah berpandangan mereka pasti akan terus berusaha menolak dan menimbulkan keraguan dalam kalangan rakyat.

“Mereka akan terus mencipta persepsi negatif kerana tidak mampu menerima kenyataan bahawa GRS berjaya. Namun rakyat harus bijak menilai – kestabilan dan kesinambungan dasar yang baik adalah kunci kepada masa depan Sabah yang lebih sejahtera,” katanya.

Aksyah turut merakamkan ucapan tahniah kepada Hajiji dan seluruh pasukan kerajaan negeri atas pengiktirafan berprestij tersebut, sambil menyeru rakyat agar terus menyokong kepimpinan sedia ada demi kemajuan negeri.-pr/BNN