LAHAD DATU: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata pembukaan Pusat Kawalan dan Stesen Penyelidikan Langom di Kawasan Konservasi Lembah Danum merupakan bukti komitmen Kerajaan Sabah terhadap usaha pemuliharaan dan penyelidikan biodiversiti di negeri ini.
Beliau berkata inisiatif oleh Yayasan Sabah dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Negeri itu selari dengan matlamat untuk mewujudkan persekitaran penyelidikan yang kondusif di samping memastikan pengurusan hutan secara lestari.
“Oleh itu, saya ingin mengulangi sokongan penuh Kerajaan Negeri terhadap usaha pemuliharaan dan penyelidikan seperti ini.
“Saya amat berharap Kerajaan Persekutuan mempertimbangkan untuk menyalurkan lebih banyak sokongan, khususnya dalam bentuk pembiayaan berterusan menerusi Tabung Amanah Konservasi Sumber Asli Nasional (NCTF) serta dalam Rancangan Malaysia Ke-13 akan datang,” katanya semasa merasmikan Pusat Kawalan dan Stesen Penyelidikan Langom, di sini hari ini.
Ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri III/Menteri Kerja Raya, Datuk Shahelmey Yahya.
Ketua Menteri yakin melalui sokongan daripada semua pihak termasuk Kerajaan Persekutuan, kawasan-kawasan pemuliharaan seperti Lembah Danum dan keseluruhan Landskap Hutan Hujan DaMaI (Lembah Danum, Lembangan Maliau dan Imbak Canyon) akan terus kekal sebagai khazanah biodiversiti dunia serta menjadi pusat penyelidikan, pendidikan dan pemuliharaan terulung negara.
Hajiji berkata penubuhan pusat ini melalui peruntukan RM5.6 juta daripada Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 adalah sejajar dengan teras utama Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ), khususnya dalam pemuliharaan alam sekitar dan pembangunan lestari.
“Inisiatif ini mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri untuk mengimbangi pembangunan ekonomi dengan pemuliharaan sumber asli demi kesejahteraan jangka panjang rakyat dan generasi akan datang,” katanya.
Hajiji turut memuji pencapaian cemerlang Yayasan Sabah dalam mengurus dan memelihara Kawasan Konservasi Lembah Danum dan kawasan lain sepertinya sejak sekian lama.
“Kumpulan Yayasan Sabah bukan sahaja memainkan peranan penting dalam menjaga kawasan konservasi hutan simpan perlindungan dan hutan simpan yang dilindungi sepenuhnya (Totally Protected Area) yang begitu berharga ini, malah telah mengangkat nama Sabah ke persada antarabangsa sebagai contoh pengurusan kawasan konservasi yang telus, berintegriti dan berwawasan,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar atas sokongan mereka yang membolehkan stesen penyelidikan ini disiapkan.
Beliau berkata stesen penyelidikan yang ditubuhkan di dalam Hutan Simpan Ulu SegamaMalua, di bawah Jawatankuasa Pengurusan Jabatan Perhutanan Sabah yang turut melibatkan Universiti Malaysia Sabah (UMS) terletak di lokasi yang sangat strategik iaitu di antara kawasan projek Face The Future, Netherlands (INFAPRO) dan Pusat Pembelajaran Lembah Danum.
“Dengan hutan dara Lembah Danum terletak hanya di seberang sungai, kawasan tempat kita berdiri ini merupakan zon penampan yang telah dipulihkan melalui Projek INFAPRO dalam Hutan Simpan Ulu Segama-Malua.
“Ramai yang tidak sedar bahawa hutan yang kita lalui dalam perjalanan ke sini hari ini adalah hutan yang telah dipulihkan hasil usaha bertahun-tahun. Ini membuktikan bahawa pemulihan hutan boleh berjaya jika kita mempunyai visi dan komitmen, dan Sabah telah pun berjaya melaksanakannya,” katanya.
Ketua Menteri berkata pusat ini juga sangat sesuai untuk mendidik generasi muda melalui program pendidikan alam sekitar seperti yang dilaksanakan oleh Kelab Pencinta Alam Sabah.Beliau mengalu-alukan inisiatif Kelab Pencinta Alam Sabah di bawah seliaan Kumpulan Yayasan Sabah untuk memilih beberapa sekolah di Lahad Datu sebagai sekolah angkat di bawah program mereka.
“Saya percaya langkah ini akan membuka peluang kepada generasi muda untuk memahami dan menghargai pemuliharaan alam sekitar sejak dari usia awal,” katanya.
Ketua Menteri memberi jaminan bahawa Kerajaan Sabah akan terus melaksanakan program pembangunan yang bercirikan kelestarian hijau dengan mengutamakan penggunaan dan pengurusan sumber asli secara bertanggungjawab serta memastikan perlindungan alam sekitar, kesejahteraan sosial dan pertumbuhan ekonomi untuk generasi akan datang.
“Sebagai sebuah negeri yang kaya dengan sumber asli, penyelidikan mengenai pengurusan dan pemuliharaan sumber ini adalah sangat penting. Ini termasuk penyelidikan bagaimana sumber ini dapat dimanfaatkan secara lestari untuk kepentingan rakyat dan negara serta kesannya kepada alam sekitar,” katanya.-pr/BNN