KOTA KINABALU: Yang di-Pertua Negeri, Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Musa Haji Aman dan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menghadiri Majlis Kesyukuran Doa Akhir Tahun dan Awal Tahun Baharu Hijrah Peringkat Negeri Sabah 1447H/2025M yang berlangsung di Masjid Negeri Sabah pada Khamis.
Keberangkatan tiba Tun Musa pada jam 6.00 petang disambut oleh Hajiji dan barisan kepimpinan negeri, termasuk Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Seri Panglima Haji Kadzim Haji M. Yahya, Menteri Kewangan Negeri, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Haji Mohd Arifin Datuk Haji Mohd Arif dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Sr.Haji Safar Untong.
Majlis dimulakan dengan bacaan Doa Akhir Tahun 1446H, disusuli Doa Awal Tahun 1447H, sebelum jemaah menunaikan Solat Fardhu Maghrib secara berjemaah.
Majlis diteruskan dengan bacaan Surah Yasin, Tahlil dan Doa Selamat. Para jemaah kemudiannya diberikan Tazkirah Khas yang menyentuh pengajaran penting daripada peristiwa hijrah Rasulullah SAW.
Program diteruskan dengan Solat Fardhu Isyak berjemaah sebelum para tetamu dijamu dalam satu jamuan ringkas.-pr/BNN