KOTA KINABALU: Penganjuran Kolej Kediaman Luar (KKL) OPEN DAY’25 selama empat hari bermula 12 hingga 15 Jun lalu bukan sekadar mencorakkan kemeriahan kampus, malah membuktikan kemampuan mahasiswa sebagai ejen perubahan dalam melaksanakan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) menerusi pelbagai inisiatif berimpak tinggi.

Program anjuran Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa (JAKMAS) Kolej Kediaman Luar (Kingfisher dan USIA-1Borneo), Universiti Malaysia Sabah (UMS), itu membawa tema “Memupuk Kesedaran, Memperkasa Komuniti”, berjaya menarik penyertaan meluas pelajar, masyarakat setempat dan rakan strategik pelbagai sektor.

Sepanjang program berlangsung, pelbagai aktiviti dijalankan yang menyokong pelaksanaan sekurang-kurangnya empat SDG utama, iaitu SDG 3 (Kesihatan dan Kesejahteraan), SDG 4 (Pendidikan Berkualiti), SDG 5 (Kesaksamaan Gender), SDG 8 (Kerja Layak dan Pertumbuhan Ekonomi) serta SDG 17 (Kerjasama untuk Mencapai Matlamat).

Salah satu program yang mencuri tumpuan ialah STEM Bridge Building Competition yang menyasarkan pelajar sekolah rendah sekitar Kota Kinabalu. Pertandingan itu bukan sahaja merangsang minat dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), malah seiring matlamat SDG 4 untuk menyediakan pendidikan berkualiti sejak peringkat awal.

Usaha mendekatkan masyarakat kepada gaya hidup sihat turut diberi penekanan menerusi penganjuran ceramah kesedaran kanser payudara dan kempen derma darah.

Kerjasama erat dengan Hospital Queen Elizabeth II dan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UMS menjayakan inisiatif ini yang menyokong SDG 3 berkaitan penjagaan kesihatan dan kesejahteraan komuniti.

Dalam usaha memperkasa wanita, demonstrasi seni mempertahankan diri taekwondo oleh Kelab Taekwondo UMS diadakan sebagai salah satu usaha membina keyakinan diri dan kesedaran keselamatan dalam kalangan peserta wanita, selaras dengan SDG 5 yang menekankan kesaksamaan gender dan keselamatan wanita.

Sementara itu, gerai jualan kendalian mahasiswa dan komuniti setempat pula menjadi medan latihan langsung dalam bidang keusahawanan. Selain menghidupkan suasana program, aktiviti itu turut melatih peserta dalam pengurusan, pemasaran dan kewangan sekali gus membina kemahiran kerjaya masa depan seperti yang ditekankan dalam SDG 8.

Penganjuran KKL OPEN DAY’25 turut melakar kejayaan melalui jalinan strategik bersama pelbagai pihak termasuk Institution of Engineers Malaysia (Young Engineers Section), Zoo Lok Kawi, Kelab Kraftangan Telipok Ria dan agensi akademik lain.

Melalui kolaborasi ini, mahasiswa berpeluang membina jaringan, memantapkan kemahiran komunikasi dan mengendalikan acara secara profesional, sekali gus menyokong SDG 17 yang menekankan kepentingan kerjasama pelbagai sektor untuk pembangunan mampan.

Secara keseluruhan, program ini bukan sahaja memenuhi objektif kebajikan pelajar, malah melonjakkan peranan institusi pengajian tinggi dan mahasiswa dalam menjayakan agenda pembangunan mampan negara.

Kejayaan ini diharap menjadi pemangkin kepada lebih banyak program seumpamanya yang menggabungkan elemen pendidikan, kesedaran awam, pemerkasaan komuniti dan kerjasama strategik demi manfaat bersama.-pr/BNN