KENINGAU: Pertandingan Pakaian Kebangsaan sempena Miss & Mister Crocker Range Season 8 2025 berlangsung penuh warna-warni di Dataran Keningau malam tadi, mencuri tumpuan pengunjung dalam salah satu acara kemuncak Karnival Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) serta The Crocker Range Festival.
Program anjuran bersama penganjur Karnival PMKS dan Festival The Crocker Range ini menyaksikan pertarungan busana kreatif berunsur tradisional dan moden yang memaparkan keunikan etnik serta mitologi masyarakat Borneo, sekali gus memperkukuh peranan fesyen sebagai wahana pengarusperdanaan warisan budaya.
Fame Lim dinobatkan sebagai Johan Mister Crocker Range dengan pakaian bertemakan Hikayat Bujang Senang ciptaan Affendy Ariffin (Madonna), manakala Divya Flavia Chai dinobatkan Johan Miss Crocker Range menerusi rekaan The Myth of Nunuk Ragang oleh pereka Madon.
Naib johan bagi kategori lelaki dan wanita masing-masing dimenangi Alphonsus Marcellinus (Lagenda Gombunan Wira Dusun Liwan – Vellary Aduk) dan Dovindra Ashley Alvin (The Power of Lundayeh – Dexter Dylan Dunstan).
Tempat ketiga dimenangi Khairul Samsuddin (Head Hunter Warrior – Remy Nana) dan Feinny Khoo Kim Ni (Mythical God Liwan – Queen Bee Attire), melengkapkan senarai peserta berbakat yang berjaya memukau juri serta hadirin.
Pertandingan ini bukan sekadar persembahan visual tetapi turut menjadi landasan penting memartabatkan seni reka tempatan, mengetengahkan identiti etnik Sabah dan memberi pendedahan kepada penggiat seni fesyen muda di pentas yang lebih luas dan kompetitif.-pr/BNN