KENINGAU: Prihatin terhadap masa depan anak muda, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan, Datuk Annuar Ayub Aman (AAA) menyampaikan sumbangan kepada Deqna Fransisca Fredoline, pelajar yang bakal melanjutkan pengajian ke Kolej Matrikulasi Labuan dalam bidang Sains.

Sumbangan berbentuk kewangan dan sokongan moral itu disampaikan melalui Pembantu Tadbir Pejabat Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Liawan, Linda Mausin dalam satu pertemuan ringkas di Pejabat UPPM Liawan, kelmarin.

Menurut Annuar, pendidikan adalah pelaburan penting dan setiap usaha ke arah kecemerlangan wajar disokong.

“Kita bantu kerana percaya pada potensi anak muda. Pendidikan adalah hak dan harapan,” katanya dalam pesanan yang dibacakan oleh Linda.

Deqna melahirkan penghargaan atas keprihatinan tersebut dan berjanji untuk memanfaatkan peluang yang diberikan sebaik mungkin.

“Sumbangan itu bukan sahaja meringankan beban untuk memulakan kehidupan sebagai pelajar matrikulasi, malah menjadi dorongan kuat untuk terus mengejar impian dalam bidang sains”, katanya.

Langkah kecil ini membawa erti besar buat komuniti Liawan – bahawa sokongan terhadap generasi muda bukan sekadar retorik, tetapi dilaksanakan dengan tindakan yang nyata.-pr/BNN