KENINGAU: Penduduk Kampung Kikiran, Apin-Apin bakal menikmati kemudahan baharu apabila pembinaan Mini Dewan Serbaguna sedang giat dilaksanakan sebagai sebahagian daripada inisiatif pembangunan luar bandar Kerajaan Negeri.
Projek itu merupakan antara usaha berterusan kerajaan untuk memperkukuh infrastruktur asas bagi manfaat komuniti luar bandar, khususnya di bawah kepimpinan Pembantu Menteri Kerja Raya Negeri, Datuk Robert Tawik @ Nordin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor.
Dewan yang sedang dibangunkan itu dijangka menjadi pusat tumpuan baharu bagi pelbagai kegiatan komuniti seperti mesyuarat penduduk, program belia, latihan kemahiran, seminar pembangunan desa serta sambutan perayaan dan adat tempatan.
Terletak di kawasan pedalaman dalam DUN Bingkor, Kampung Kikiran selama ini amat memerlukan sebuah kemudahan serbaguna yang kondusif dan sistematik untuk menyokong aktiviti sosial dan pembangunan insan.
Menurut jurucakap Pejabat ADUN Bingkor, pembinaan mini dewan itu turut mendapat pemantauan berterusan daripada Robert sendiri, yang dikenali sebagai pemimpin progresif serta sentiasa cakna terhadap keperluan rakyat di kawasan luar bandar.
“Mini dewan ini bukan sahaja memenuhi keperluan kemudahan awam, malah bakal menjadi pemangkin kepada semangat perpaduan, gotong-royong dan interaksi komuniti yang lebih erat,” katanya.
Menurutnya, inisiatif ini juga selaras dengan aspirasi Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ), khususnya dalam aspek pembangunan prasarana luar bandar secara menyeluruh dan mampan.
Katanya, projek ini merupakan manifestasi kepada komitmen Robert Tawik yang berpaksikan prinsip “Bingkor Membangun Bersama Rakyat”, selaras dengan matlamat untuk memastikan setiap lapisan masyarakat menikmati arus pembangunan tanpa mengira lokasi.
Beliau berkata, kemunculan kemudahan seperti ini jelas membuktikan bahawa pembangunan di Bingkor bersifat inklusif – bukan sahaja tertumpu di kawasan bandar tetapi turut menjangkau ke pelosok desa.
Projek pembinaan Mini Dewan Kampung Kikiran dijangka siap dalam tempoh terdekat dan akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh masyarakat setempat.-pr/BNN