KOTA KINABALU: Kerajaan negeri komited memperkukuh penyampaian infrastruktur dengan pelancaran rasmi Koridor Utiliti Sabah (KUS), inisiatif strategik yang bakal menjadi pemangkin utama pembangunan sistemik di Sabah.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, penubuhan KUS bukan sekadar pengenalan sebuah entiti baharu tetapi mencerminkan kesungguhan kerajaan negeri dalam mempercepatkan pembangunan, menyelaras utiliti, dan menarik pelaburan baharu ke negeri ini.

“KUS diberi mandat sebagai Agensi Sehenti bagi mempercepatkan urusan permit kerja utiliti dan membangunkan pangkalan data aset utiliti negeri secara menyeluruh,” katanya pada Majlis Pelancaran KUS di Hotel Marriott pada Jumaat.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir.

Menurutnya, langkah ini selaras dengan Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang menekankan pembangunan menyeluruh dan penyampaian perkhidmatan yang efisien, telus serta berorientasikan masa hadapan.

Katanya, penggunaan teknologi digital dan peta utiliti bersepadu melalui KUS, mampu mempercepat kelulusan projek, mengurangkan pertindihan kerja, serta meningkatkan keselamatan kerja lapangan.

Hajiji berkata, pendekatan ini memberi impak besar bukan sahaja kepada kelancaran pelaksanaan projek kerajaan dan swasta, tetapi juga menyokong agenda pendigitalan negeri, daya saing pelaburan dan pembangunan bandar pintar.

“Inilah contoh sinergi sektor awam-swasta yang mampu melahirkan penyelesaian berimpak tinggi untuk rakyat,” katanya.

Beliau turut menekankan bahawa penyelarasan proses utiliti akan membuka lebih banyak kawasan baharu untuk pembangunan, sekali gus merangsang kegiatan ekonomi dan menjana peluang pekerjaan, khususnya di kawasan luar bandar.

“Projek seperti ini akan memperkukuh logistik industri dan memperluas capaian bekalan asas seperti elektrik, air dan telekomunikasi kepada masyarakat luar bandar,” katanya.

Hajiji turut menyeru seluruh warga kerja KUSSB dan Qhazanah Sabah Berhad agar meneruskan usaha dengan penuh profesionalisme dan komitmen tinggi demi memastikan kemudahan ini benar-benar membawa manfaat kepada rakyat.

Kita telah meletakkan asas kukuh. Kini tiba masanya untuk melaksanakannya dengan berani dan bersungguh-sungguh,” ujarnya.-pr/BNN