SANDAKAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Datuk Jaffari Waliam turun padang menyertai Program Gotong-Royong Perdana yang berlangsung di Kampung Gum-Gum, di sini pada Ahad.
Program yang bermula seawal pagi itu mendapat sambutan menggalakkan apabila lebih 60 orang penduduk kampung turut sama berganding bahu menjalankan pelbagai aktiviti kebersihan, menceriakan kawasan sekitar dan bagi mengelak banjir kilat yang sering berlaku.

Beberapa agensi kerajaan dan badan sukarela turut terlibat dalam menjayakan program berkenaan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Majlis Perbandaran Sandakan (MPS), Radio Televisyen Malaysia (RTM) serta Kawasan Rukun Tetangga (KRT) kampung terbabit.
Turut hadir memberi sokongan ialah Penolong Jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sandakan, Encik Soh Teck Aun.
Jaffari dalam ucapannya merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat menjayakan gotong-royong berkenaan, yang disifatkannya sebagai lambang semangat kerjasama dan keprihatinan masyarakat dalam menjaga kebersihan serta kelestarian persekitaran kampung.
“Saya amat berbesar hati dan berterima kasih kepada semua agensi, penduduk dan sukarelawan yang telah meluangkan masa dan tenaga demi memastikan kejayaan program hari ini,” katanya.
Beliau berharap menerusi program itu akan dapat membantu mengatasi masalah banjir kilat yang sering berlaku di kampung itu apabila berlaku hujan lebat sehingga menyebabkan kerugian harta benda.
Menurutnya, Program Gotong Royong Perdana ini juga merupakan inisiatif penting dalam merapatkan hubungan antara penduduk kampung dan pihak berkuasa tempatan, selain mendidik masyarakat mengenai pentingnya amalan kebersihan dalam kehidupan seharian.-pr/BNN