KOTA MARUDU: Rakyat Sabah perlu membuat pilihan bijak dalam menentukan parti yang bakal diberi mandat menerajui negeri pada pilihan raya akan datang dengan memastikan hanya parti yang benar-benar mampu memacu pembangunan dan menjaga kepentingan rakyat diberikan kepercayaan.
Aktivis masyarakat dan pemerhati politik, Aksyah Haji Nasrah berkata, kenyataan yang disuarakan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor ketika merasmikan Festival Kebudayaan Rungus Sabah di Kota Marudu pada Ahad, perlu dilihat secara serius oleh seluruh rakyat negeri ini.
Menurut beliau, Hajiji secara jelas menekankan kepentingan rakyat memilih parti yang benar dan betul, dengan mengambil kira kemampuan serta pencapaian parti tersebut dalam membangunkan negeri dan menjaga kesejahteraan rakyat.
“Buat masa ini, parti terbaik yang boleh diharapkan untuk memaju dan memakmurkan Sabah ialah Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
“GRS bukan sahaja sebuah parti tempatan yang menjadi tunjang pemerintahan negeri, malah merupakan platform inklusif yang menyatukan rakyat Sabah dari pelbagai latar belakang politik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Aksyah yang juga mantan Timbalan Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Sabah berkata, GRS bukan hanya wujud atas semangat demokrasi, tetapi juga atas aspirasi dan kehendak sebenar rakyat Sabah untuk melihat negeri ini dipimpin oleh anak jati tempatan yang memahami denyut nadi serta keperluan rakyat.
“Ketua Menteri telah menetapkan halatuju yang jelas menerusi gagasan Sabah Maju Jaya (SMJ) dan hasilnya telah mula dinikmati rakyat walaupun GRS masih parti yang muda. Banyak pencapaian telah direkodkan merangkumi projek pembangunan fizikal dan bukan fizikal,” katanya.
Antara projek fizikal yang telah dan sedang dilaksanakan termasuklah pembinaan Lebuhraya Pan Borneo, Projek Hidroelektrik Ulu Padas, pembinaan loji air baharu, pelaksanaan Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS), serta inisiatif perumahan menerusi program Rumah Sejahtera SMJ.
Dari segi pembangunan bukan fizikal pula, kerajaan GRS memperkenalkan pelbagai program kebajikan dan pendidikan seperti peruntukan biasiswa, Tabung Pendidikan Sabah, Program Bantuan Pendidikan (BUDI), Anugerah Kecemerlangan Siswa Anak Sabah (AKSA), serta Program SYUKUR yang memberi bantuan RM300 sebulan selama setahun kepada lebih 100,000 penerima.
Menurut Aksyah, hasil dan rizab kewangan negeri kini menunjukkan peningkatan memberangsangkan, mencerminkan kecekapan pentadbiran kerajaan negeri dalam mengurus ekonomi secara strategik.
Kerajaan hari ini turut berpandangan jauh apabila bakal melaksanakan Ekonomi Biru yang berpaksikan kepada sumber laut Sabah yang luas untuk diteroka serta memberikan jaminan hasil yang cukup tinggi kepada negeri ini.
“Keupayaan ini hanya boleh dicapai apabila kerajaan negeri bebas menetapkan halatuju serta dasar yang berpaksikan kepentingan rakyat dan tidak bergantung kepada campur tangan luar. Inilah kekuatan utama GRS sebagai parti tempatan yang berdaulat dan berprinsip,” katanya.
Beliau juga mengakui bahawa walaupun terdapat beberapa projek yang mengalami kelewatan, namun ia masih menunjukkan perkembangan positif dan kerajaan negeri terus komited untuk memastikan segala pelaksanaan berjalan lancar.
Dalam pada itu, Aksyah menekankan pesanan penting yang disampaikan Hajiji, iaitu untuk terus memelihara dan mengukuhkan perpaduan rakyat.
“Kestabilan sosial dan politik negeri hanya mampu dicapai jika rakyat mengekalkan kerajaan sedia ada. Wawasan SMJ hanya dapat direalisasikan apabila kerajaan yang stabil dan berpandangan jauh seperti GRS terus mendapat sokongan padu rakyat,” katanya lagi.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Persatuan Rungus Sabah atas penganjuran Festival Kebudayaan Rungus Sabah yang disifatkannya sebagai usaha penting dalam memelihara warisan budaya dan memperkukuh identiti masyarakat tempatan.-pr/BNN