KENINGAU: Penduduk Kampung Takad Selatan, Apin-Apin kini menikmati satu lagi kemudahan awam apabila sebuah gelanggang sepak takraw baharu berjaya disiapkan sepenuhnya untuk kegunaan komuniti setempat, khususnya golongan belia yang aktif dalam sukan.

Projek berkenaan dilaksanakan menerusi peruntukan khas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.40 Bingkor, Datuk Robert Tawik @ Nordin, sebagai sebahagian daripada inisiatif berterusan beliau untuk memperkasa pembangunan sukan dan rekreasi di kawasan luar bandar.

Menurut Robert, gelanggang itu bukan sekadar kemudahan sukan semata-mata, malah berperanan sebagai pemangkin kepada gaya hidup sihat, semangat kesukanan dan perpaduan dalam kalangan masyarakat kampung.

“Saya berharap kemudahan ini digunakan sepenuhnya oleh golongan belia untuk menyemarakkan aktiviti sukan dan menggalakkan penyertaan aktif dalam kegiatan sihat. Ini juga merupakan sebahagian usaha kita membina modal insan yang seimbang di kawasan Bingkor,” katanya.

Beliau berkata, pembangunan kemudahan seperti ini sejajar dengan pendekatan pembangunan berasaskan tindakan dan keperluan rakyat yang digariskan menerusi aspirasi “Bingkor Membangun Bersama Rakyat”.

Gelanggang sepak takraw tersebut bukan sahaja dapat mencungkil bakat baharu dalam kalangan anak muda, malah menjadi platform penting untuk mengeratkan hubungan silaturahim dalam komuniti setempat.-pr/BNN