KENINGAU : Usaha memperkasa prasarana luar bandar terus diperhebat apabila laluan utama pekebun di Kampung Agudon, Liawan menerima perhatian khusus daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan, Datuk Annuar Ayub Aman, yang meluluskan kerja penyelenggaraan laluan penting itu demi kelangsungan ekonomi penduduk.

Laluan tanah berbukit yang menjadi nadi utama pengangkutan hasil pertanian seperti kelapa sawit, getah, durian, avocado, sayur-sayuran dan buah-buahan tempatan itu memainkan peranan besar dalam menjana pendapatan harian penduduk kampung.

“Mereka tidak minta projek mega, cuma mahu laluan selamat untuk teruskan kehidupan. Kita dengar, kita laksanakan,” tegas Annuar ketika ditemui.

Tambah beliau, jalan yang baik bukan sekadar kemudahan fizikal, tetapi menjadi pemangkin harapan kepada kehidupan yang lebih sejahtera dan bermaruah.

Menariknya, laluan tersebut turut menghubungkan ke Taman Perkelahan Ulu Sungai Agudon (USA Keningau), sebuah destinasi rekreasi semula jadi yang semakin dikenali dengan kejernihan airnya yang mengalir dari Banjaran Crocker.

Lokasi ini kerap menjadi tumpuan untuk aktiviti berkelah, berkhemah dan ‘healing’ dalam suasana hutan yang tenang dan nyaman.

Menyedari potensi besar kawasan itu, Annuar berkata pendekatan pembangunan mampan perlu digerakkan agar kawasan tersebut bukan sahaja kekal sebagai tanah pertanian produktif, malah berupaya berkembang sebagai eko-destinasi desa yang menjana pendapatan tambahan kepada penduduk setempat.

Beliau yang terkenal dengan pendekatan berasaskan tindakan terus mengangkat suara rakyat luar bandar dengan memberikan solusi nyata dan bukannya retorik politik.

Penduduk kampung menyambut baik inisiatif tersebut dan menyifatkan Annuar sebagai pemimpin yang benar-benar memahami denyut nadi rakyat dan wajar dikekalkan dalam saf kepimpinan negeri.

“Inilah pemimpin yang bukan hanya pandai berkata-kata, tapi turun padang mendengar dan terus bertindak.” ujar salah seorang pekebun tempatan yang ditemui.-pr/BN