KOTA KINABALU: Persatuan Filem dan Visual Sabah (SAFVA) menyuarakan kebimbangan terhadap beberapa isu undang-undang yang dianggap kritikal berkaitan pelaksanaan dan operasi platform penstriman baharu, Borneo.TV.

Menerusi satu kenyataan, SAFVA menyambut baik usaha kerajaan negeri dalam menyediakan wadah promosi kepada artis dan bakat tempatan menerusi Borneo.TV, yang dilihat sebagai langkah positif ke arah memperkasakan industri kreatif tempatan dan meningkatkan keterlihatan komuniti seni Sabah di peringkat antarabangsa.

Bagaimanapun, Penasihat Undang-Undang SAFVA, Yong Yit Jee menegaskan bahawa beberapa persoalan utama perlu diperjelaskan bagi memastikan platform tersebut dikendalikan secara telus, mematuhi undang-undang, dan tidak mengabaikan hak serta kepentingan artis tempatan.

Menurutnya, Borneo.TV dimiliki oleh IB Media Consultant Works Sdn Bhd, sebuah syarikat berpangkalan di Semenanjung Malaysia. Sehubungan itu, SAFVA mempersoalkan mekanisme pengagihan hasil pendapatan yang diperoleh daripada kandungan berasaskan Sabah, serta kesannya terhadap hasil cukai negeri.

“Sebarang pendapatan yang dijana melalui kandungan kreatif Sabah seharusnya menyumbang kembali kepada ekonomi negeri ini. Agihan yang tidak telus boleh menyebabkan ketirisan dan mengurangkan impak ekonomi kepada komuniti tempatan,” katanya.

SAFVA turut membangkitkan isu berhubung pengurusan hak harta intelek dan bayaran royalti kepada artis Sabah. Menurut Yong, adalah penting agar kontrak antara Sekretariat Sabah Maju Jaya (SMJ) dan IB Media menjamin pampasan yang adil dan perlindungan menyeluruh kepada pencipta kandungan.

“Artis tempatan mesti menerima royalti setimpal atas hasil kerja mereka. Ketelusan dalam kontrak dan pematuhan kepada prinsip harta intelek amat penting untuk membina kepercayaan dan menjamin kelangsungan industri kreatif negeri,” jelas beliau.

SAFVA turut menggesa IB Media memastikan semua lesen penyiaran dan permit yang diwajibkan oleh pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) diperoleh terlebih dahulu. Kegagalan berbuat demikian, menurut Yong, boleh mendedahkan pihak terlibat kepada tindakan undang-undang.

Dalam masa sama, aspek pematuhan terhadap Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (PDPA) turut diketengahkan, memandangkan Borneo.TV dijangka mengumpul data peribadi pencipta dan pengguna kandungan.

SAFVA turut mengingatkan mengenai tanggungjawab undang-undang terhadap kandungan yang dijana pengguna, termasuk kandungan fitnah, pelanggaran hak cipta serta bahan berbahaya. Pihak platform disaran menyediakan garis panduan yang jelas dan syarat perkhidmatan yang melindungi semua pihak, termasuk pencipta kandungan.

Selain itu, SAFVA menekankan pentingnya penghormatan terhadap budaya dan komuniti asli Sabah, khususnya melalui pelaksanaan prinsip Free, Prior and Informed Consent (FPIC) sebelum elemen budaya dipaparkan kepada umum.

“Kegagalan mendapatkan persetujuan daripada komuniti asli sebelum menggunakan budaya mereka bukan sahaja menyalahi prinsip etika, malah boleh mengundang implikasi undang-undang,” kata Yong.

Sebagai langkah segera, SAFVA menggesa supaya perjanjian antara Sekretariat Sabah Maju Jaya dan IB Media didedahkan kepada umum demi ketelusan dan melindungi kepentingan artis tempatan.

“Ketelusan ini penting untuk menentukan sama ada Borneo.TV benar-benar berfungsi sebagai pemangkin kepada pembangunan industri kreatif Sabah atau sebaliknya,” tegasnya.

Sehubungan itu, SAFVA mencadangkan satu sesi dialog terbuka melibatkan semua pihak berkepentingan termasuk SMJ, IB Media, Jawatankuasa Tindakan Industri Kreatif Sabah (JATIKS), dan wakil komuniti kreatif tempatan bagi menyelesaikan isu-isu berbangkit secara konstruktif.

SAFVA, tambah Yong, kekal komited untuk bekerjasama dengan semua pihak demi memastikan platform yang dibangunkan benar-benar berpaksikan undang-undang, memelihara budaya, dan menyumbang secara bermakna kepada pembangunan industri kreatif Sabah.-pr/BNN