INANAM: Kerajaan Negeri komited untuk membentuk ekonomi Sabah yang moden, berdaya saing dan inklusif melalui pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

“Di bawah pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), hala tuju kita adalah jelas. Pelan hala tuju SMJ ini bertujuan untuk membentuk ekonomi yang moden, berdaya saing dan inklusif, yang memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat, sama ada di bandar mahupun di luar bandar.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menandatangani plak yang memperingati pembukaan cawangan AFFIN Bank Inanam hari ini.

“Ia dirangka sebagai rangka kerja utama kepada pelbagai pelan pembangunan sektor. Komitmen kita terhadap masa depan Sabah amat jelas dalam pelan ini, yang berlandaskan tiga teras utama – pertama, Pertanian, Perindustrian dan Pelancongan; kedua, Pelaburan dalam modal insan; dan ketiga, Mempertingkatkan Hubungan dengan Pendekatan Hijau.

“Kita bukan sekadar membina sebuah ekonomi, tetapi sedang membina masa depan bersama, di mana manfaat kemajuan dapat dirasai di setiap daerah, termasuk di Inanam,” katanya semasa merasmikan AFFIN Cawangan Inanam di Plaza Kolombong, di sini hari ini.

Ketua Menteri berkata tiada ekonomi yang mampu berkembang tanpa inklusiviti kewangan.

“Sistem perbankan yang kukuh, mudah diakses dan inklusif adalah penting bagi membuka sepenuhnya potensi rakyat dan perniagaan. Di Sabah, 98 peratus daripada keseluruhan perniagaan adalah perusahaan kecil dan sederhana (PKS), yang menjadi pemangkin kepada perusahaan dan pekerjaan tempatan.

“Namun, masih ramai perniagaan ini berdepan pelbagai cabaran sebenar: akses kredit yang terhad, kurang kesiapsiagaan digital, dan kesukaran menyesuaikan diri dengan pasaran yang sentiasa berubah,” katanya.

Oleh itu, katanya, bank seperti AFFIN boleh membantu merapatkan jurang ini menerusi pembiayaan bersasar untuk sektor seperti pertanian dan eko-pelancongan, sokongan bimbingan dan nasihat, pembiayaan khusus untuk usahawan wanita serta program literasi kewangan bagi mempersiapkan rakyat Sabah, khususnya belia, menghadapi tuntutan ekonomi masa kini.

“Kita percaya bahawa setiap rakyat Sabah perlu diberi kuasa dengan alat dan sokongan kewangan untuk berkembang, menyimpan, membina dan menyumbang kepada ekonomi kita. Kita sedar bahawa pembangunan yang bermakna mesti bermula dengan akses kepada modal, perkhidmatan kewangan, serta alat yang membolehkan keusahawanan dan mobiliti sosial.

“Bagi masyarakat luar bandar, perniagaan kecil dan golongan belia yang sedang menceburi ekonomi digital, ia harus menjadi pemangkin kemajuan dan membuka potensi mereka,” katanya.

Hajiji berkata dengan pelbagai produk dan perkhidmatan perbankan yang komprehensif oleh AFFIN, Sabah sedang melangkah ke arah masyarakat yang lebih inklusif dari segi kewangan, di mana peluang dapat dinikmati oleh semua.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Kumpulan AFFIN atas pencapaian cemerlangnya, terutamanya memenangi Fortune Southeast Asia 500 buat tahun kedua berturut-turut dan kejayaan sulungnya dalam pasaran bon USD yang mencatatkan lebihan langganan sebanyak 3.5 kali – membuktikan keyakinan kukuh institusi terhadap asas AFFIN dan mengesahkan kredibilitinya.

“AFFIN menyambut ulang tahun ke-50 pada tahun ini, menandakan lima dekad pertumbuhan, ketahanan dan sumbangan kepada landskap kewangan negara.

“Sepanjang perjalanan ini, AFFIN telah menyokong keluarga, membina perniagaan dan menyumbang kepada pembangunan negara. Pilihan untuk memperkukuh kehadirannya di Sabah sempena ulang tahun emas ini amat bertepatan dan penuh makna. Tahniah atas pencapaian penting sempena ulang tahun ke-50 ini,” katanya. – pr/BNN