PENAMPANG: Laungan keramat “Satu Suara Rumah Kita Jaga” bergema lantang di Dewan Hongkod Koisaan KDCA, di sini, petang tadi apabila lebih 7,000 ahli dan penyokong membanjiri Konvensyen Perpaduan PBS-STAR 2025, yang disifatkan sebagai titik permulaan baharu dalam landskap politik Sabah menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17.
Konvensyen bersejarah itu menyaksikan penyatuan rasmi dua parti teras tempatan, Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), yang sebelum ini sering berentap di pentas politik, namun kini bersatu hati membentuk pakatan kukuh demi kestabilan dan kemajuan Sabah.
Majlis penutupan disempurnakan oleh Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) merangkap Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, yang menyifatkan permuafakatan itu sebagai satu “lonjakan besar” untuk politik matang dan inklusif di negeri ini.
“Gabungan ini adalah cerminan kematangan politik tempatan dan tekad anak Sabah untuk memelihara kepentingan negeri melalui satu suara dan satu hala tuju,” katanya dalam ucapan di majlis itu.
Turut hadir menyuntik semangat ialah tokoh negarawan Sabah, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, pengasas dan mantan Presiden PBS yang kini menjawat jawatan Penasihat Perdana PBS, sekali gus melambangkan kesinambungan perjuangan dan kesatuan generasi.
Presiden STAR, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G Kitingan, dan Pemangku Presiden PBS, Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam, tampil sepentas dalam menunjukkan kesatuan kepimpinan dua parti tersebut yang kini sepakat memperkukuh GRS sebagai platform perjuangan rakyat Sabah.
Sementara itu, Naib Presiden STAR merangkap ADUN Liawan, Datuk Annuar Ayub Aman, dalam ucapannya menegaskan bahawa STAR dan PBS akan terus bergerak sederap dengan iltizam dan semangat Sabah First, demi menjaga kepentingan “rumah besar” bernama Sabah.
“Perpaduan ini bukan retorik politik semata-mata, tetapi satu iltizam bersama. Inilah masanya kita buktikan bahawa anak Sabah mampu berpakat dan memimpin masa depan negeri sendiri,” tegasnya disambut sorakan gemuruh hadirin.
Konvensyen yang berlangsung penuh semangat dan simbolik itu turut menyampaikan mesej jelas kepada rakyat Sabah bahawa GRS kini lebih bersatu dan bersedia menawarkan kerajaan yang stabil, progresif dan berpaksikan kepentingan rakyat.
Dengan semangat ‘Satu Suara Rumah Kita Jaga’, PBS dan STAR mengorak langkah baharu – bukan sekadar bergabung kuasa, tetapi menyatu harapan rakyat menuju sebuah Sabah yang lebih gemilang dan bermaruah.-pr/BNN