SIPITANG : Quang Square, Mesapol menjadi saksi kebangkitan semangat belia apabila lebih 10,000 anak muda dari seluruh pelosok negeri berhimpun sempena program KAPCAI SIPITANG 5.0, acara permotoran terbesar yang pernah dianjurkan di pedalaman Sabah, semalam.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Ketua Cabang KEADILAN P.178 Sipitang, Encik Wendey Agong Baruh, yang menyifatkan himpunan itu bukan sekadar satu perayaan peminat motosikal, tetapi juga simbol kepada keberanian dan aspirasi anak muda yang mahu mencipta ruang perubahan dalam masyarakat.
“KAPCAI SIPITANG bukan sekadar acara motosikal, tetapi lambang semangat anak muda yang berani mencipta ruang, membina jaringan dan menjadi pencetus perubahan,” katanya ketika merasmikan program itu.
Beliau turut menegaskan komitmen KEADILAN Sipitang dalam menyokong program-program yang melibatkan golongan belia, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan perpaduan, keusahawanan dan pembangunan komuniti.
Menurut Wendey, penglibatan aktif anak muda dalam kegiatan sihat seperti ini perlu digalakkan kerana ia menjadi landasan kepada pembinaan kepimpinan masa depan yang lebih matang dan berwibawa.
Turut hadir memeriahkan majlis itu ialah Timbalan Ketua Cabang, Encik Presley Kurus; Ketua Wanita, Puan Junaidah @ Junn Makku; Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Encik Ian Brian Francis serta barisan pimpinan Cabang, Wanita dan AMK KEADILAN Sipitang.
Sepanjang program berlangsung, pelbagai aktiviti menarik turut diadakan termasuk tinjauan pameran permotoran, penyampaian cenderahati, serta sesi interaksi bersama pengunjung dan peserta belia.
Program tahunan ini bukan sahaja mencetus keterujaan dalam kalangan peminat motosikal, tetapi juga memperkukuh silaturahim serta semangat kekitaan dalam kalangan generasi muda Sabah.-pr/BNN