KENINGAU: Sokongan terhadap pembangunan belia dan sukan di Bingkor terus dizahirkan apabila ADUN Bingkor merangkap Pembantu Menteri Kerja Raya, Datuk Robert Tawik @ Nordin menyumbangkan jersi rasmi kepada pasukan bola sepak tempatan, Deep Borneo.
Sumbangan itu disampaikan oleh wakil UPPM N.40 Bingkor, Mohd Zaki Zakaria kepada Pengurus Pasukan Deep Borneo, Azmi Abel Ungkalis Bounding dalam satu majlis ringkas baru-baru ini.
Pasukan berpengkalan di Kampung Baru Bingkor itu aktif menyertai kejohanan tempatan dan pernah muncul juara Pertandingan Bola Sepak anjuran UPKO Bahagian Tenom sempena Hari Malaysia tahun lalu.
Azmi menzahirkan penghargaan atas keprihatinan Robert yang sentiasa menyokong belia.
“Sumbangan ini menaikkan semangat pemain dan memupuk kesatuan pasukan,” katanya.
Menurutnya, sukan bukan sahaja membina disiplin, malah memperkukuh perpaduan generasi muda.
Sumbangan berkenaan mencerminkan usaha berterusan Robert dalam memperkasakan belia melalui sukan sebagai wahana pembangunan sosial dan komuniti.-pr/BNN