KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS)-PH Plus bukan sekadar tonggak kerajaan negeri ketika ini, malah telah membuktikan keupayaannya sebagai pencetus perubahan dan penyelesai masalah rakyat Sabah secara menyeluruh, meskipun belum genap 3 tahun mentadbir negeri.
Mantan Timbalan Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Sabah, Aksyah Haji Nasrah berkata, pelbagai naratif pembangkang yang mendakwa GRS sebagai “kerajaan gagal” tidak selari dengan realiti pencapaian semasa, termasuk dalam aspek pembangunan, kebajikan dan ekonomi negeri.
“Sindrom penafian jelas menguasai pembangkang. Mereka enggan mengakui hakikat bahawa GRS-PH Plus di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berjaya melaksanakan lebih 13 perkara utama, termasuk peningkatan hasil negeri saban tahun serta pelaksanaan projek infrastruktur dan program sosio-ekonomi rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Aksyah, Warisan sebelum ini mewarisi Sabah dalam keadaan baik tetapi gagal mengotakan janji yang dibuat ketika kempen pilihan raya.
Malah, mantan Timbalan Pengerusi PN Sabah yang kini aktivis politik Pro-GRS berkata, pendekatan yang digunakan tampak tidak memihak kepada anak jati negeri ini.
“Bagaikan ‘tikus membaiki labu’ dan ‘kera mendapat bunga’, malah ada tindakan mereka seperti ‘kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan’ – jelas menyisihkan keperluan sebenar rakyat Sabah,” katanya.
Sebaliknya, beliau berkata, GRS mewarisi pentadbiran yang tenat akibat kelemahan kerajaan terdahulu dan terpaksa membaik pulih pembangunan usang yang sudah ketinggalan zaman.
“Meskipun tempoh pentadbiran masih muda, rekod prestasi kerajaan menunjukkan hasil yang amat memberangsangkan. Tetapi pembangkang tetap memandang kejayaan ini seperti najis – sukar meyakinkan mata lalat bahawa sesuatu itu adalah kebaikan,” katanya sinis.
Mengulas kenyataan Timbalan Setiausaha GRS, Datuk Armizan Mohd Ali, Aksyah bersetuju bahawa antara kekuatan utama GRS ialah keupayaan membuat keputusan strategik tanpa perlu merujuk kepada “tuan luar” yang tidak memahami sepenuhnya denyut nadi rakyat Sabah.
“Ini bukti kematangan GRS. Kita mampu bergerak bebas dan yakin dalam merintis perubahan untuk Sabah. Jika rakyat memberi mandat sekali lagi, tidak syak lagi GRS akan terus menjadi pemacu dan penyelesai kepada cabaran yang mendatang – meskipun tidak sempurna, tetapi ikhlas demi rakyat,” katanya.
Tambah beliau, Wawasan Sabah Maju Jaya menjadi dasar kukuh yang membimbing halatuju GRS dan sudah tiba masanya rakyat menilai secara objektif dan tidak lagi terpengaruh dengan retorik pembangkang.
“Jika GRS sudah terbukti mampu mentadbir dan membawa manfaat kepada rakyat, apalagi alasan untuk menafikannya?” tegasnya.-pr/BNN