KENINGAU: Impian penduduk Kampung Labak Baru untuk memiliki ruang komuniti akhirnya tercapai apabila Mini Dewan Terbuka kampung itu siap dibina hasil inisiatif Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor, Datuk Robert Tawik.

Dewan terbuka itu bukan sahaja menjadi simbol harapan rakyat luar bandar, malah bakal berfungsi sebagai pusat kegiatan masyarakat termasuk majlis keramaian, program rasmi dan perjumpaan penduduk yang selama ini dilakukan di kawasan terbuka serba kekurangan.

Kemudahan itu memberi manfaat kepada lebih 400 penduduk kampung, sekali gus menjadi anjakan kecil yang membawa impak besar kepada kehidupan sosial dan semangat kebersamaan komuniti setempat.

Pengerusi JKKK, Januarius Juanis; Ketua Kampung, KK Jenny Ensong dan Wakil Ketua Anak Negeri, Edward Tirik mewakili seluruh penduduk menzahirkan penghargaan kepada Robert atas keprihatinan dan usaha berterusan memperjuangkan pembangunan luar bandar.

“Mini dewan ini bukan sekadar bangunan, tetapi tempat menyemai semangat perpaduan. Ia bukti suara rakyat pedalaman tetap diberi perhatian,” kata mereka ketika ditemui.

Robert yang juga Pembantu Menteri Kerja Raya, sebelum ini konsisten memperjuangkan pelbagai projek infrastruktur demi meningkatkan taraf hidup masyarakat luar bandar, termasuk di kawasan terpencil.

Dewan baharu itu menjadi bukti nyata bahawa pembangunan bukan hanya hak milik bandar, tetapi turut dirasai oleh rakyat desa yang mempunyai harapan dan masa depan.-pr/BNN