PAPAR : Menteri Komunikasi, YB Datuk Fahmi Fadzil hari inimerasmikan Kempen Internet Selamat (KIS) di SMK St. Mary, Limbahau, Papar bagi memperkukuh literasi dan kesedaran digital dalam kalangan komuniti di Sabah.
Penganjuran KIS di Sabah ini menandakan pendekatan strategik Kementerian Komunikasi menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) yang bukan hanya tertumpu kepada capaian Internet semata-mata, tetapi juga memberikan penekanan kepada penggunaan Internet yang selamat, beretika dan bertanggungjawab, khususnya dalam kalangan generasi muda.
Antara pengisian KIS termasuk sesi kesedaran keselamatan dalam talian, aktiviti interaktif serta latihan kepada guru bagi memperkukuh nilai dan jati diri pelajar ketika berhadapan dengan cabaran menerusi alam siber.
Kempen ini turut mencerminkan pendekatan “whole-of-nation” di bawah kerangka Malaysia MADANI, yang menyaksikan MCMC berganding bahu bersama pihak sekolah, guru, ibu bapa, dan pihak berkuasa tempatan untuk menyampaikan mesej keselamatan digital secara berkesan.
MCMC menyeru seluruh masyarakat, dari kampung hingga ke bandar, dari Semenanjung hingga ke Sabah, untuk menjadi sebahagian daripada gerakan ini. Internet bukan sekadar alat komunikasi, tetapi medan untuk membentuk nilai, menyebar ilmu dan menyatukan rakyat.
Mari kita pastikan ruang digital ini kekal selamat, beretika dan membina untuk generasi hari ini dan akan datang.Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, YBhg. Datuk Mohamad Fauzi bin Md Isa dan Ketua Pegawai Hal Ehwal Negeri MCMC, Tuan Haji Bukhari Yahya.-pr/BNN