KENINGAU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan, Datuk Annuar Ayub Aman terus komited memperkasa potensi belia luar bandar melalui sukan apabila menyalurkan sumbangan kepada tiga wakil sukan muda dari daerah ini yang bakal bertanding di peringkat negeri dan kebangsaan.

Sumbangan itu disampaikan dalam beberapa majlis ringkas di Pejabat Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Liawan baru-baru ini, melibatkan Kontinjen Badminton Majlis Sukan Sekolah (MSS) Keningau; adik Cisry Jerry, atlet Taekwondo yang akan menyertai 8th Gewinn Malaysia Open di Klang; serta pasukan Kelab Taekwondo Aelma Keningau yang bertanding di 14th Open Labuan Taekwondo Championship.

Sumbangan disampaikan oleh Pembantu Operasi Pusat Khidmat Rakyat DUN Liawan, Mohamad Raihan Jinode dan Penyelia Kemajuan Masyarakat, Heldahwati Juhasin.

Menurut Raihan, Annuar melihat penyertaan aktif belia dalam sukan bukan sekadar persaingan pingat semata-mata, sebaliknya satu pelaburan jangka panjang dalam membina sahsiah dan jati diri generasi muda.

“Ini bukan sekadar bantuan kewangan, tetapi satu bentuk pengiktirafan kepada semangat juang atlet muda kita. Mereka bukan sekadar bersaing — mereka membawa harapan Liawan ke pentas yang lebih tinggi,” katanya.

Heldahwati pula berkata, kejayaan seseorang atlet tidak akan hadir tanpa pengorbanan dan sokongan masyarakat.

“Apa yang dilakukan Annuar ialah mengangkat seluruh komuniti. Di sebalik seorang atlet, ada keluarga dan pemimpin yang peduli,” katanya.

Kejohanan Badminton MSS Sabah dijadual berlangsung dari 28 hingga 31 Julai di Kota Kinabalu, manakala Kejohanan Taekwondo Labuan akan berlangsung pada 26 dan 27 Julai, dan kejohanan di Klang pada 9 hingga 10 Ogos depan.

Sokongan berterusan ini mencerminkan iltizam Annuar dalam memupuk budaya sukan sebagai landasan pembentukan belia yang berdisiplin, berdaya saing dan mampu menjadi pemimpin masa depan.-pr/BNN