KENINGAU: Dalam diam tanpa perlu sorakan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.41 Liawan, Datuk Annuar Ayub Aman terus memperkukuh peranannya sebagai pemimpin berjiwa rakyat apabila tampil membantu dua anak muda yang menjadi simbol harapan dan masa depan kawasan luar bandar.
Terbaharu, atlet muda Yazvienie Ezzara menerima sumbangan bagi menyertai 8th Gewinn Malaysia Open Taekwondo Championship 2025 yang akan berlangsung pada 9 hingga 10 Ogos di Klang, Selangor.
Sumbangan itu disampaikan oleh Pembantu Operasi Pusat Khidmat Rakyat DUN Liawan, Mohamad Raihan Jinode, kepada ibu Yazvienie, Rosnita Maic.
Menurut Raihan, sumbangan itu bukan sekadar bentuk sokongan logistik, sebaliknya mesej bahawa anak luar bandar juga mampu bersaing di peringkat kebangsaan dengan keyakinan serta bimbingan yang betul.
“Ini adalah amanah daripada YB Annuar. Ia lambang komitmen beliau dalam memastikan potensi anak muda terus digilap,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi anak Liawan, Siti Nur Faiefah Yope turut menerima sumbangan daripada Annuar bagi menyokong langkah awalnya ke menara gading.
Faiefah bakal melanjutkan pengajian dalam Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak di City University Malaysia, Kota Kinabalu.
Sumbangan diserahkan oleh Pemaju Mukim Lingkudau, Noritah Melvina Dungkian dalam majlis ringkas di Pejabat Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Liawan, disaksikan sendiri oleh ibu Faiefah.
Annuar mungkin tidak hadir secara fizikal, tetapi kasih dan keprihatinannya sampai tepat pada waktunya,” kata ibu Faiefah, yang mengangkat isyarat ibu jari sebagai tanda terima kasih dan sokongan.
Kisah Yazvienie dan Faiefah mencerminkan tekad serta harapan ribuan anak muda luar bandar lain. Tetapi lebih penting, ia memperlihatkan kehadiran seorang pemimpin yang memilih untuk bertindak dengan senyap, membantu tanpa perlu diminta.
Pemimpin seperti Annuar membuktikan bahawa khidmat bukan sekadar di pentas atau lensa kamera — tetapi dalam tindakan yang konsisten, ikhlas dan penuh rasa tanggungjawab.-pr/BNN