KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) diseru agar tidak terperangkap dengan mainan persepsi pembangkang yang cuba menggugat kesepaduan dan kekuatan politik gabungan itu menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN-17).

Aktivis politik pro-GRS, Aksyah Haji Nasrah menegaskan bahawa semua ahli dan pemimpin GRS harus kekal berpegang kepada prinsip taat, setia dan melaksanakan keputusan pimpinan secara bersama.

Beliau menyifatkan ucapan dasar Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor pada Persidangan Agung Tahunan parti itu pada Ahad lalu sebagai kenyataan tepat waktu dan penuh ketegasan yang perlu difahami dalam konteks sebenar.

“Kerjasama antara GRS dan Pakatan Harapan-Plus (PH Plus) untuk PRN-17 bukanlah satu keputusan tergesa-gesa, malah ia adalah hasil pertimbangan politik yang matang demi kestabilan Sabah.

“Malangnya, ada media dan pembangkang yang cuba menggambarkan seolah-olah GRS sedang berpecah dan tidak sepakat. Ini taktik lama yang diulang semula untuk mengelirukan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Aksyah, dakwaan bahawa ada pimpinan komponen GRS ‘terkejut’ dengan kerjasama tersebut tidak berasas, memandangkan semua pemimpin utama parti turut hadir sebagai jemputan khas dalam majlis perasmian persidangan berkenaan.

“Mereka hadir, mereka dengar sendiri ucapan Presiden parti. Jika benar mereka tidak tahu, kenapa mereka tidak tampil membantah secara terbuka pada waktu itu?” katanya.

Mengulas tuduhan pembangkang bahawa kerjasama dengan PH Plus bercanggah dengan hasrat asal GRS untuk bertanding secara solo, Aksyah menolak dakwaan itu sebagai tidak berfakta dan bersifat putar belit.

“Presiden GRS tidak pernah membuat pengumuman rasmi mahu bertanding solo. Kenyataan ‘solo’ hanya muncul sebagai reaksi balas terhadap keputusan BN-PH di peringkat Pusat yang ketika itu seolah-olah mengetepikan GRS dalam perbincangan kerjasama politik.

“Dalam keadaan itu, adalah wajar bagi Hajiji mempertahankan maruah GRS sebagai parti yang mengetuai kerajaan negeri Sabah,” katanya.

Tambah beliau, Perdana Menteri sendiri kemudiannya memohon agar Hajiji mempertimbangkan semula pendirian tersebut dan membuka ruang kerjasama politik yang lebih inklusif di peringkat negeri.

“Hajiji menunjukkan keterbukaan dan jiwa besar apabila kembali kepada semangat kerjasama dengan PH Sabah. Ia bukan tanda kelemahan, sebaliknya lambang kebijaksanaan dan keikhlasan dalam berpolitik,” katanya.

Aksyah turut menegaskan bahawa prinsip keutuhan GRS terletak pada kesetiaan semua ahli terhadap keputusan dan arahan kepimpinan tertinggi.

“Ramai yang bersemangat mahu GRS bertanding solo, itu hak mereka menyuarakan pandangan. Namun apabila keputusan sudah dibuat secara rasmi, semua pihak wajib melaksanakan dan mematuhinya.

“Kita tidak boleh biarkan emosi dan perbezaan pandangan melemahkan gerak kerja parti. Yang paling utama sekarang ialah memperkukuh jentera dan memastikan kemenangan sebanyak mungkin kerusi dalam PRN akan datang,” katanya.

Beliau turut mengingatkan ahli GRS agar tidak terpengaruh dengan sentimen politik yang dimainkan pembangkang, termasuk cubaan menanam keraguan terhadap kerjasama GRS-PH Plus.

“Pada akhirnya, rakyat akan menilai siapa yang mampu menawarkan kestabilan dan kemajuan. Kita perlu buktikan bahawa GRS adalah pilihan terbaik untuk meneruskan kepimpinan negeri ini,” katanya.-pr/BNN