KOTA KINABALU: Dakwaan bahawa Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bersikap tidak konsisten dan “sekejap mahu jalan solo, sekejap tidak” dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN-17) disifatkan sebagai tidak berasas dan mengelirukan rakyat.
Timbalan Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) N58 Lamag, Johainizamshah Johari menegaskan, sejak awal lagi Ketua Menteri (KM) merangkap Presiden Gagasan Rakyat, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, sentiasa menyatakan pendirian jelas dan konsisten untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dalam menghadapi PRN-17.
“Isu dan dakwaan kononnya KM berubah-ubah pendirian adalah tidak tepat. Apa yang berlaku hanyalah reaksi sementara terhadap pengumuman kerjasama rasmi antara Barisan Nasional (BN) dan PH pada 8 dan 9 Mei lalu di peringkat Persekutuan, yang dibuat tanpa perincian khusus membabitkan Sabah.
“Pada ketika itu, Hajiji hanya menyuarakan kemungkinan GRS bertanding secara bersendirian sekiranya situasi politik negeri memerlukannya. Ia bukan bermaksud menolak kerjasama dengan PH, sebaliknya menunjukkan keterbukaan dalam membuat keputusan berdasarkan kepentingan Sabah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut Johainizamshah, selepas lawatan kerja Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Tawau pada 11 Mei lalu, situasi menjadi lebih jelas apabila beliau sendiri menyatakan secara terbuka hasrat agar GRS, PH dan BN di Sabah bekerjasama menjelang PRN-17.
“Lebih penting lagi, PMX meminta Hajiji sendiri untuk memimpin rundingan gabungan itu. Ini menunjukkan kepercayaan dan penghormatan kepada kepimpinan beliau,” katanya.
Menurutnya, perkara ini turut ditegaskan oleh Hajiji sendiri dalam Persidangan Agung Tahunan 2025 Gagasan Rakyat, Ahad lalu, apabila beliau dengan jelas menyatakan Gagasan Rakyat/GRS akan bekerjasama dengan PH menghadapi pilihan raya negeri akan datang.
“Tiada satu pun kenyataan rasmi Hajiji yang menolak kerjasama dengan PH. Maka tidak timbul isu pendirian tidak tetap atau kekeliruan seperti yang cuba dimomokkan oleh pihak tertentu, khususnya parti pembangkang,” katanya.
Johainizamshah berkata, apa yang paling penting ketika ini ialah menjaga kestabilan politik demi memastikan Sabah terus membangun dan rakyat dapat menikmati hasil kemajuan secara menyeluruh.
“Kita tidak mahu Sabah jadi seperti wilayah kaya di luar negara yang gagal dimanfaatkan untuk kesejahteraan rakyat, contohnya Delta Niger di Nigeria, Katanga di Congo dan Chhattisgarh di India – semuanya kaya sumber, tapi rakyat hidup dalam kemiskinan.
“Justeru, kita mesti bersatu, menyokong kepimpinan yang ada, dan mengelak daripada mainan politik yang boleh menggugat usaha membangunkan negeri ini,” katanya. – pr/BNN