KENINGAU: Kejohanan Bola Sepak Tertutup Piala Presiden BSC N.40 Bingkor melabuhkan tirainya dengan menyaksikan BSC FC menjuarai kategori veteran, manakala LEJ FC A muncul juara kategori terbuka.
Aksi penutup kejohanan yang berlangsung di Padang Binong, Bingkor baru-baru ini turut menyaksikan Buang Sayang FC meraih tempat kedua dan Binaong FC di tempat ketiga bagi kategori veteran.

LEJ FC B pula muncul naib juara terbuka, manakala MXT FC di tempat ketiga.
Penjaring terbanyak kategori veteran dimenangi Dendaxter Saverinus (BSC FC), manakala Fazley Wells (BSC FC Senior) merangkul anugerah penjaring terbanyak kategori terbuka. Baginda FC dan Bunga Raya FC masing-masing di tempat keempat dalam kategori masing-masing.
Kejohanan dua hari yang berlangsung dari 26 hingga 27 Julai itu dirasmikan Presiden BSC, Dato’ Mohd Ishak Datuk Ayub, yang juga adik kepada Presiden FAM, Datuk Joehari Ayub Aman.
Ishak yang aktif memacu pembangunan bola sepak daerah berkata, penganjuran kejohanan ini bukan sahaja mencungkil bakat tempatan, malah menyatukan komuniti menerusi semangat kesukanan.
Timbalan Presiden BSC, Rayner Jainus Lian Ginanda, turut memuji tahap penganjuran dan peningkatan kualiti permainan tahun ini yang mencerminkan kematangan pasukan bertanding.
Mukim Bingkor sebelum ini pernah melahirkan pemain berkaliber seperti mendiang Cikgu Tony Tutu Latik, Cikgu Speddy Sumping dan Simon Linus Madan – membuktikan warisan bola sepak daerah ini terus subur dan berbakat.-pr/BNN





