KENINGAU: Usaha memperkasa kesedaran kesihatan berasaskan prinsip semula jadi dan nilai perkhidmatan kepada komuniti menjadi tumpuan utama dalam Program Latihan Kesihatan anjuran Jabatan Kesihatan Gereja Seventh-day Adventist (SDA) Daerah Keningau dengan kerjasama Sabah Mission, yang berlangsung selama dua hari bermula 2 Ogos lalu.
Program yang diadakan di Ruang Legar Gereja SDA Pekan Keningau itu melibatkan pelbagai aktiviti berbentuk teori, praktikal dan komuniti, bertujuan meningkatkan kefahaman warga gereja tentang konsep kesihatan holistik merangkumi aspek fizikal, pemakanan dan kesejahteraan mental.
Antara pengisian utama program termasuk ujian Peak Flow bagi mengukur fungsi paru-paru, terapi kerusi dan hidroterapi, senaman Charobix, demonstrasi masakan sihat serta sesi ‘Health Age Plus’ (HAP) yang membantu peserta menilai usia kesihatan berbanding usia sebenar mereka.
Malam Sabtu pula dimeriahkan dengan sesi Step Test dan pengenalan senaman Charobix dalam suasana santai, disusuli majlis makan malam ‘Pot Blessing’ dan upacara sundown, yang mencerminkan gabungan elemen kesihatan dan kerohanian mengikut tradisi SDA.
Hari kedua dimulakan dengan sesi teori dan aplikasi teknikal HAP, senaman ringan serta demonstrasi masakan sihat sebagai pendekatan menyeluruh untuk menggabungkan ilmu dan amalan dalam membentuk gaya hidup yang sihat dan seimbang.
Program ditutup dengan sesi bergambar serta aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan gereja — mencerminkan nilai khidmat kepada masyarakat yang turut ditekankan sepanjang program.
Menurut Penyelaras Program, Sandy Anak Pelima, latihan kesihatan ini dirancang untuk meningkatkan kesedaran dan amalan pencegahan dalam kalangan masyarakat, selari dengan prinsip kepercayaan gereja terhadap kesejahteraan menyeluruh.
“Kesihatan bukan sekadar merawat penyakit, tetapi juga soal pencegahan, gaya hidup dan pemerkasaan komuniti. Program ini diharap menjadi pemangkin kepada perubahan gaya hidup yang lebih sihat, seimbang dan lestari,” katanya ketika ditemui.-pr/BNN