KENINGAU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan, Datuk Annuar Ayub Aman, terus mengutamakan agenda kesejahteraan rakyat dengan menyalurkan sumbangan kepada institusi pendidikan, penjagaan kesihatan serta pelajar yang melanjutkan pengajian dalam bidang kritikal.
Sumbangan disampaikan oleh Mohamad Raihan Jinode, Pembantu Operasi Pejabat Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Liawan, yang mewakili Annuar dalam majlis ringkas tetapi bermakna di Pejabat UPPM Liawan, kelmarin.

Antara penerima ialah Jawatankuasa Penganjur Konsert Bukit Langsat Institut Pendidikan Guru (IPG) Keningau sempena Jubli Delima 40 Tahun IPG Kampus Keningau; Tabika Perpaduan Dangulad B bagi membiayai Lawatan Integrasi ke Melaka; dan Persatuan Pembantu Perawatan Kesihatan Pejabat Kesihatan Kawasan Keningau yang akan menganjurkan Hari PPK Zon Pedalaman Atas Sabah 2025 pada 7 November ini.
Dua pelajar turut menerima suntikan semangat – Effy Umairah Abdullah, yang bakal mengikuti Diploma Sains Perubatan dan Kesihatan di ILKKM Kota Kinabalu, dan Santi Martinus, yang ditawarkan Diploma Kejururawatan di ILKKM Sandakan.
“Inilah wajah kepimpinan yang bertindak, bukan sekadar berjanji. Sokongan kepada rakyat adalah nadi perjuangan kami,” kata Mohamad Raihan.
Sumbangan tersebut membuktikan komitmen berterusan Annuar untuk mendampingi rakyat di semua peringkat – daripada komuniti akar umbi hingga ke menara gading – demi memperkasa potensi anak tempatan serta memartabatkan sektor pendidikan dan kesihatan luar bandar.-pr/BNN