KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah sekali lagi mengangkat isu allahyarham Zara Qairina Mahathir di Parlimen, sambil mencadangkan agar undang-undang anti-buli segera digubal.
Ketika membahas Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat kelmarin, beliau berkata memulakan perbahasan dengan membawakan kisah tragik yang meragut nyawa Zara Qairina di sekolah tempatnya belajar bulan lalu.
Katanya, kejadian itu bukan saja meruntun kesedihan keluarganya di Sipitang, tetapi juga mencetuskan kegusaran di seluruh negara.
“Insiden ini bukan hanya satu berita duka, tetapi sebenarnya tamparan hebat buat kita semua.
“Ia membuka persoalan besar tentang sejauh mana kita benar-benar menjaga keselamatan anak-anak di institusi pendidikan. Andai benar unsur buli terlibat, maka ini bukan lagi isu disiplin – ini adalah keganasan yang meragut nyawa,” katanya dalam ucapan penuh sebak dan sedikit emosional itu.
Ini kali kedua Matbali mengangkat isu berkenaan selepas membangkitkannya sewaktu perbahasan Rang Undang-Undang Pendidikan (Pindaan) 2025 pada 30 Julai lepas.
Sehubungan itu, beliau meminta kerajaan mengambil tindakan proaktif menangani kes berkenaan.
Beliau berkata sudah tiba masanya undang-undang khusus anti-buli digubal dengan segera.
“Biar ada garis panduan yang jelas, perlindungan kepada mangsa dan pemberi maklumat, serta tindakan tegas terhadap pelaku,” katanya.
Dalam pada itu, Matbali turut merakamkan ucapan penghargaan kepada Perdana Menteri dan Kerajaan Persekutuan, Ketua Menteri Sabah dan Kerajaan Negeri Sabah serta semua pihak atas keprihatinan, ucapan takziah dan komitmen serius untuk menangani kes Zara Qairina secara telus dan tuntas.-pr/BNN