KENINGAU: Dewan Undangan Negeri (DUN) Liawan kini berada di persimpangan penting menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, dengan masa depan kawasan itu bergantung sepenuhnya kepada pilihan rakyat.
Ketua Wira muda Star Liawan, Micheal Tambi, berkata PRN kali ini bukan sekadar pemilihan wakil rakyat, sebaliknya medan untuk menentukan hala tuju pembangunan dan kesejahteraan masyarakat Liawan bagi tempoh lima tahun akan datang.
“Senang menghakimi, tetapi bila kita pakai kasut orang lain, belum tentu kita mampu melangkah sejauh yang dia sudah lalui,” katanya, merujuk kepada cabaran sebenar memimpin sebuah kawasan yang mempunyai keperluan pelbagai lapisan masyarakat.
Menurutnya, di bawah kepimpinan penyandang, Annuar Ayub, Liawan telah menyaksikan pelbagai kemajuan nyata, termasuk pembaikan jalan kampung, peningkatan bekalan air dan elektrik, pemasangan lampu jalan demi keselamatan, serta penambahbaikan kemudahan awam.
Sektor pendidikan juga berkembang pesat apabila ramai anak tempatan berjaya melanjutkan pengajian ke menara gading hasil sokongan kewangan, motivasi, dan peluang yang diwujudkan.
“Golongan belia diberi ruang untuk bersinar melalui program sukan dan rekreasi, manakala warga emas sentiasa dibantu melalui kebajikan, khairat kematian, serta perhatian ketika diperlukan. Kepelbagaian kaum dan agama diraikan, mewujudkan keharmonian yang menjadi teras masyarakat Liawan,” jelasnya.
Micheal mengingatkan pengundi atas pagar agar tidak mensia-siakan peluang untuk bersuara, selain menyeru pengundi muda berusia 18 tahun ke atas menggunakan hak mereka buat kali pertama dengan bijak.
“Masa depan Liawan bukan medan untuk eksperimen politik. Pilihlah pemimpin yang terbukti bekerja dan turun padang tanpa mengira musim pilihan raya, bukan sekadar muncul ketika kamera hadir,” tegasnya.
Katanya, kesinambungan pembangunan hanya dapat dijamin jika rakyat mengekalkan pemimpin yang telah teruji kemampuannya.
“Akhirnya, sejarah akan mengingati siapa yang memilih untuk terus melangkah bersama pemimpin yang sudah terbukti, dan siapa yang memilih untuk mempertaruhkan masa depan kepada yang belum diuji,” tambahnya.-pr/BNN





