KOTA KINABALU: Presiden Persatuan Ahli-Ahli Kehormat Ikatan Relawan Malaysia (RELA) Negeri Sabah, Brig. Jen. (Kehormat) Dato’ Jerry Ambuting Mohd Said, membidas kenyataan Pengerusi PKR Sabah, Datuk Mustapha Sakmud, yang mendakwa Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berisiko menjadi liabiliti menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Beliau menyifatkan kenyataan itu sebagai tidak bertanggungjawab dan hanya menjejaskan keharmonian politik yang kononnya diperjuangkan PKR.

“Mustapha bercakap soal kestabilan, tetapi dalam masa sama melabelkan GRS sebagai liabiliti. Ini jelas satu percanggahan. Jangan jadikan GRS sebagai kambing hitam semata-mata kerana kegusaran politik parti sendiri.

“GRS di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, telah membuktikan keupayaan mentadbir negeri dengan baik.

“Hasil negeri meningkat, pelaburan bertambah, infrastruktur dibangunkan, malah kebajikan rakyat sentiasa diberi keutamaan. Itu fakta, bukan sekadar retorik,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Jerry berkata, rakyat Sabah sudah muak dengan politik retorik dan permainan persepsi yang cuba menggambarkan kerajaan negeri sebagai liabiliti.

“Kalau benar ikhlas mahu kestabilan, jangan hanya pandai menuding jari. Politik Sabah memerlukan semangat kerjasama dan saling menghormati, bukannya sindiran yang boleh mengeruhkan suasana.

“Rakyat tidak mahu dengar cerita rundingan kerusi atau siapa lebih berkuasa. Rakyat mahu lihat kesinambungan pembangunan dan kestabilan sebenar yang boleh membawa manfaat kepada mereka,” tegasnya.

Beliau turut menyokong pendirian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang mahu mengelak pertembungan tiga penjuru antara PH, BN dan GRS.

“Kalau Perdana Menteri sendiri menyeru semua pihak mengutamakan kerjasama, mengapa pula ada pemimpin di Sabah cuba mencetuskan persepsi negatif terhadap GRS? Ini hanya melemahkan perpaduan yang sedang dibina,” katanya.

Jerry menegaskan, kepimpinan Hajiji telah memberi bukti nyata bahawa Sabah berada di landasan betul, justeru tuduhan kononnya GRS menjadi liabiliti adalah tidak berasas dan hanya mengelirukan rakyat.

“GRS bukan liabiliti. GRS adalah aset kepada kestabilan Sabah. Mereka yang menafikan hakikat ini sebenarnya menafikan pilihan dan keyakinan rakyat Sabah sendiri,” katanya lagi.-pr/BNN