KENINGAU: Program Solidariti Doa dan Perpaduan Antara Denominasi Kristian yang berlangsung di Padang Bandaran Keningau semalam berjaya menghimpunkan ratusan jemaat pelbagai gereja bersama pemimpin masyarakat, sekali gus menyerlahkan semangat harmoni antara komuniti tempatan.

Acara anjuran Majlis Gabungan Gereja Keningau (MGGK) itu turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan, Datuk Annuar Ayub Aman, bersama isteri, YM Datin Tengku Adlina Marita Tengku Adlin, yang meluangkan masa bersama masyarakat setempat.

Program bermula dengan doa pembukaan, senaman robik dan nyanyian lagu kebangsaan Negaraku serta Sabah Tanah Airku sebelum diteruskan dengan ucapan Pengerusi MGGK, Rev. Paul Lau, yang menekankan kepentingan perpaduan, doa bersama dan toleransi dalam masyarakat majmuk di Keningau.

Detik kemuncak program tercipta apabila Annuar bersama barisan pastor dan elder memimpin acara flag-off menuju ke Katedral St. Francis Xavier, sebagai simbol perjalanan iman dan pengukuhan perpaduan.

Doa kesyukuran disampaikan oleh Pastor Henry (Gereja Baptis), Pastor Jeffey (Gereja Basel) dan Pastor Alisther (Gereja SIB), manakala doa berkat dipimpin oleh Msgr Gilbert Lasius, yang mengakhiri acara dengan penuh keberkatan.

Kehadiran pelbagai denominasi Kristian Katolik dan Protestant termasuk PCS, Anglikan, Baptis, Basel dan Sidang Injil Borneo (SIB) jelas menzahirkan semangat solidariti serta keharmonian yang menjadi tunjang keharmonian masyarakat Keningau.

Program turut diserikan dengan acara ‘Walk for Jesus’ yang mengelilingi bandar sambil disertai aktiviti kutipan sampah di sepanjang laluan, sekali gus menyemai mesej kebersihan, kesedaran sivik dan kecintaan terhadap alam sekitar.-pr/BNN