KENINGAU: Kreativiti bertemu patriotisme apabila Wiranita dan Wiramuda Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) N.41 Liawan menganjurkan Projek Beg Seni & Kraftangan sempena sambutan Bulan Kemerdekaan di Dewan Terbuka Taman Kali, pagi tadi.

Program itu mendapat suntikan semangat apabila disertai Ketua Pertubuhan Muafakat Titipan Amal Isteri Wakil Gabungan Rakyat Sabah (MUTIARA GRS), YM Tengku Adlina Marita Tengku Zainal Adlin, isteri kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan, Datuk Annuar Ayub Aman.

Melalui program kreatif ini, wanita dan belia setempat diberi peluang mengasah bakat kraftangan sambil memelihara warisan budaya serta menghayati semangat cintakan tanah air.

Jurucakap penganjur menjelaskan, objektif utama program ialah melatih peserta dengan kemahiran kraftangan, menghargai seni budaya tempatan, membuka peluang penjanaan pendapatan melalui hasil kreativiti, di samping memupuk semangat patriotisme terutama dalam kalangan generasi muda.

Aktiviti yang dijalankan termasuk bengkel pembuatan beg tangan kreatif, perkongsian ilmu seni tempatan serta sesi interaksi bersama tetamu kehormat.

“Kemerdekaan bukan sekadar bebas daripada penjajahan, tetapi juga kebebasan untuk berkarya, berdikari, dan membina masa depan lebih baik. Melalui kraftangan, peserta dapat memelihara seni dan budaya tempatan sambil meningkatkan kemahiran mereka,” kata Tengku Adlina.

Annuar yang hadir memberikan sokongan penuh memuji inisiatif berkenaan kerana berjaya menggabungkan patriotisme, kreativiti, dan pembangunan komuniti dalam satu wadah bermakna.

Katanya, program itu bukan sahaja memberi inspirasi kepada generasi muda, malah mampu memperkasakan ekonomi setempat melalui aktiviti bernilai tambah.

Secara keseluruhannya, program berkenaan memberi impak besar dengan melahirkan peserta wanita dan belia yang lebih kreatif, berkemahiran dalam kraftangan, serta menanamkan rasa cinta kepada tanah air dan warisan budaya.

Selain membuka ruang penjanaan ekonomi melalui hasil kraftangan, program itu juga menjadi model inspirasi untuk generasi muda agar menjadikan semangat kebersamaan dan pembangunan komuniti sebagai agenda utama dalam membina masa depan.-pr/BNN