KENINGAU: Keprihatinan Wakil Rakyat Liawan, Datuk Annuar Ayub Aman terhadap kesejahteraan rakyat terus dizahirkan apabila beliau menyalurkan dua sumbangan penting — bagi membantu menstabilkan tebing Sungai Kauran serta menyokong penganjuran Program Sambutan Bulan Kemerdekaan di Kampung Meninipir.

Untuk Kampung Kauran, sumbangan Annuar disampaikan oleh Pembantu Tadbir Pejabat Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Liawan, Linda Mausin kepada jurucakap penduduk, Saidi Basil. Usaha itu bagi menjayakan gotong-royong menstabilkan tebing sungai yang sering terjejas akibat hakisan dan limpahan air ketika musim hujan.

Saidi menzahirkan penghargaan kepada Annuar yang disifatkan sebagai pemimpin dekat dengan rakyat serta pantas bertindak terhadap permasalahan akar umbi.

“Keprihatinan beliau bukan sekadar janji, tetapi tindakan nyata yang memberi jaminan kesejahteraan kami,” katanya.

Sementara itu, Annuar turut menyalurkan sumbangan ikhlas untuk menjayakan Sambutan Bulan Kemerdekaan 2025 yang berlangsung sepanjang Ogos hingga September.

Sumbangan berkenaan disampaikan melalui Pemaju Masyarakat UPPM Liawan, Hairul Ahmad Syam kepada Pengerusi Badan Gerakan Pemuda Pemudi Meninipir, Muhammad Ishar Salimin.

Program itu menghimpunkan pelbagai aktiviti berbentuk patriotik, sosial dan komuniti dengan penglibatan belia serta penduduk setempat sebagai tunjang utama.

Muhammad Ishar menegaskan, keprihatinan Annuar memberi semangat baharu kepada golongan muda untuk menjayakan sambutan tahun ini dengan lebih meriah.

“Pemimpin yang dekat dengan rakyat bukan hanya hadir ketika diperlukan, tetapi sentiasa bersama dalam membina semangat kebersamaan,” katanya.

Kedua-dua inisiatif itu mencerminkan pendekatan Annuar yang menekankan keseimbangan antara aspek keselamatan rakyat dan pengukuhan jati diri masyarakat.

Beliau sebelum ini sering menegaskan bahawa kemerdekaan bukan sekadar slogan, tetapi roh perjuangan yang perlu dipertahankan generasi muda, manakala keselamatan pula menjadi asas kepada kesejahteraan hidup rakyat.-pr/BNN