KOTA KINABALU: “Ketika saya berdiri di Dataran Tiananmen, menyaksikan detik penuh makna ini bersama para pemimpin dunia dan wakil diaspora Cina global, hati saya dipenuhi bukan sahaja rasa terharu, tetapi juga tanggungjawab yang amat besar.

Inilah peristiwa agung di mana sejarah dan masa depan bertemu, mengingatkan kita menghargai keamanan yang diperjuangkan dengan penuh pengorbanan,” kata Presiden Dewan Perniagaan Malaysia–China (MCCC) Sabah, Datuk Dexter Lau.

Beliau berkongsi perasaan itu selepas menghadiri Upacara Peringatan Ulang Tahun ke-80 Kemenangan Perang Rakyat China Menentang Pencerobohan Jepun dan Perang Anti-Fasis Dunia yang berlangsung penuh khidmat di Dataran Tiananmen, Beijing pada 3 September lalu.

Menurutnya, detik bersejarah itu membangkitkan memori pahit yang diwarisi keluarganya sendiri. Datuknya hampir terbunuh ketika perang, manakala neneknya yang mengandungkan ayahnya dipukul tentera musuh hingga hampir kehilangan nyawa. Pada masa sama, perniagaan keluarga Kim Teck Cheong terpaksa dihentikan demi kelangsungan hidup.

“Pandemik COVID-19 juga adalah peperangan tanpa asap dan api yang melumpuhkan dunia. Sebagai perniagaan berusia 88 tahun, kami berusaha mempertahankan mata pencarian dan semangat daya tahan keluarga, agar legasi ini terus hidup serta disampaikan kepada generasi seterusnya,” ujarnya.

Beliau menegaskan peringatan itu bukan untuk membangkitkan kebencian, sebaliknya menyedarkan masyarakat tentang erti keamanan dan ketahanan menghadapi cabaran.

“Kita ada saat kelemahan, tetapi yang penting ialah bagaimana kita bangkit. Sama ada dalam peperangan atau pandemik, ujian sebenar bukan sekadar jatuh, tetapi kemampuan untuk bangkit selepas jatuh,” katanya penuh emosi.

Sebagai pemimpin komuniti perniagaan Sabah, Dexter dijemput menyertai ketua negara, pembesar dan pemimpin diaspora Cina dari seluruh dunia dalam upacara yang dianjurkan bersama Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China (CPC), Majlis Negara, CPPCC, serta Suruhanjaya Ketenteraan Pusat.

Beliau menegaskan penghormatan itu bukan miliknya seorang, tetapi mewakili MCCC Sabah, seluruh Malaysia Timur dan Borneo termasuk Brunei.

“Walaupun Borneo jauh dari Beijing, suara kita tetap boleh didengari di pentas dunia,” katanya.

Upacara bersejarah itu turut dihadiri Presiden Rusia Vladimir Putin, pemimpin DPRK Kim Jong Un, Raja Kemboja Norodom Sihamoni, Presiden Vietnam Luong Cuong, Presiden Laos Thongloun Sisoulith, Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim, serta pemimpin dari Kazakhstan, Iran, Cuba, Mongolia, Pakistan dan Belarus.

Ia merupakan sambutan kebangsaan keempat sejak Xi Jinping menjadi Setiausaha Agung CPC pada 2012, selain perarakan ketenteraan berskala besar ke-19 sejak penubuhan Republik Rakyat China.

Dexter menegaskan pengalaman itu mengukuhkan iltizamnya membawa komuniti perniagaan Sabah ke persada antarabangsa.

“Sejarah menerangi masa depan, dan hanya melalui kerjasama kita capai kejayaan bersama. Dengan misi ‘menghubungkan sumber, membina platform dan meluaskan peluang’, MCCC Sabah akan terus memperkukuh peranan Sabah dalam perdagangan, kerjasama ekonomi dan pertukaran budaya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menitip pesanan kepada anak muda agar tidak mudah berputus asa ketika diuji cabaran.

“Selepas ribut pasti ada pelangi. Paling penting ialah refleksi diri, belajar daripada kesukaran dan membina ketahanan. Kita mesti bertanggungjawab terhadap peranan kita, mengurus perniagaan dengan dedikasi, dan memastikan setiap langkah lebih baik daripada semalam. Hanya dengan itu, kita dapat maju dan merebut masa depan,” tegasnya.-pr/BNN