KOTA KINABALU: Sabah giat mempromosikan perkhemahan dan glamping sebagai segmen pelancongan baharu dengan memanfaatkan keindahan alam semula jadinya.
Pengarah Tourism Malaysia Sabah, Haryanty Abu Bakar berkata daerah Tuaran dikenal pasti berpotensi besar menganjurkan aktiviti berkenaan yang kini semakin mendapat sambutan.
Bercakap kepada media semasa melancarkan acara D’Gathering: The Ultimate Outdoor di Pantai Tuaran baru-baru ini, Haryanty berkata aktiviti berkhemah kini semakin digemari orang ramai.
Katanya hampir 131 peserta menyertai himpunan perkhemahan dan glamping di Tuaran baru-baru ini, 70 peratus daripadanya pelancong domestik, manakala selebihnya dari Brunei, Singapura dan Indonesia.
“Tuaran bukan sekadar tempat persinggahan, sebaliknya pelawat dapat menikmati pelbagai aktiviti, tarikan dan pengalaman di sini,” katanya.
Beliau berkata segmen itu turut membuka peluang ekonomi kepada masyarakat setempat dengan lebih 10 pengusaha mengendalikan tapak perkhemahan di sekitar Kota Kinabalu.
Tourism Malaysia turut menerbitkan Direktori Perkhemahan dan Glamping bagi menyokong minat terhadap segmen ini yang akan dipromosikan dalam kempen pelancongan Sabah 2026.
Dia didampingi oleh Saffary Dino Othman, pemilik Borneo Beautiful yang menguruskan tapak, dan penganjur larian Pantai Merdeka sejauh 5KM yang telah diadakan pada 31 Ogos di sekitar tapak perkhemahan.-BNN





