KOTA KINABALU: Lebih 200 guru dan pelajar Sekolah Adat Anak Negeri Sabah (SAANS) dari seluruh negeri tampil penuh semangat menyertai perbarisan sempena sambutan Hari Sabah ke-3 yang berlangsung pada 31 Ogos lalu di ibu negeri.
Penyertaan lima kontingen SAANS dari zon Pedalaman Atas, Pedalaman Bawah, Pantai Barat, Pantai Timur dan Utara melibatkan seramai 76 orang, sekali gus menyerikan suasana perbarisan yang bukan sahaja meriah, malah penuh simbolik dalam memperingati sejarah perjuangan rakyat Sabah menuntut kebebasan daripada penjajah.
Menurut Timbalan Pengarah SAANS Zon Pedalaman, Rozie Gitang, penyertaan itu adalah wadah terbaik untuk menyemai nilai patriotisme dan rasa tanggungjawab dalam kalangan generasi muda.
“31 Ogos adalah tarikh keramat yang wajib diingati setiap rakyat Sabah kerana pada hari inilah tanah air kita terbebas daripada cengkaman penjajah. Penyertaan SAANS dalam perbarisan ini bukan sekadar simbolik, tetapi usaha menanam jati diri cintakan negara dalam kalangan anak-anak muda supaya kemerdekaan ini terus dipelihara selamanya,” katanya.
Program tahunan ini turut menjadi platform SAANS, seperti pertubuhan dan agensi lain, menonjolkan budaya serta warisan masyarakat orang asal Sabah, selain mengukuhkan semangat perpaduan antara guru, pelajar dan masyarakat setempat.
Perbarisan Hari Sabah 2025 bukan sekadar langkah penuh disiplin peserta di jalan raya, sebaliknya ia membawa gema sejarah, semangat keberanian dan kecintaan yang tidak pernah luntur dalam kalangan rakyat Sabah.
Setiap kibaran bendera dan laungan keramat menjadi penegasan bahawa kemerdekaan ini dicapai kerana keberanian rakyat, dan generasi muda hari ini bertanggungjawab memastikan sinarnya terus bersinar pada masa depan.-pr/BNN





