KENINGAU: Program Larian Muafakat anjuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Bunga Raya Bingkor sempena Bulan Kemerdekaan dan Hari Malaysia kali ketiga berlangsung meriah, hari ini.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Pengerusi Persatuan Pelancongan dan Kebudayaan Daerah Keningau, Rafie Robert, yang turut melaksanakan gimik perasmian dengan menyusun puzzle kreatif sebagai simbolik penyatuan semangat muafakat warga sekolah.
Dalam ucapannya, Rafie menegaskan penganjuran Larian Muafakat bukan sahaja sebagai platform menyemarakkan semangat cintakan negara, malah menjadi lambang kerjasama erat antara guru, ibu bapa serta komuniti sekolah.
“Larian Muafakat ini membawa makna yang besar kerana ia menggambarkan betapa pentingnya semangat bekerjasama dalam membentuk ekosistem pendidikan yang sihat dan menyeluruh,” katanya.
Beliau menambah, kejayaan program itu juga wajar dijadikan penanda aras bagi inisiatif lain pada masa hadapan termasuk memperkenalkan konsep Pelancongan dalam Sekolah yang diyakini mampu memberi nilai tambah kepada pembangunan sahsiah dan pengalaman pelajar.
Rafie turut merakamkan penghargaan kepada para guru, ahli PIBG dan ibu bapa atas komitmen serta sokongan padu dalam menjayakan penganjuran kali ini.
“Semangat muafakat seperti ini perlu terus dipupuk kerana mendidik anak-anak bukan tanggungjawab sekolah semata-mata, sebaliknya usaha bersama seluruh masyarakat,” tegasnya.
Program tahunan itu turut mendapat sambutan menggalakkan daripada warga sekolah dan komuniti setempat, sekali gus mencerminkan perpaduan serta kesungguhan bersama dalam mendukung aspirasi pendidikan dan semangat kebangsaan.-pr/BNN





