SANDAKAN : Sambutan Maulidur Rasul tidak harus dilihat sekadar acara tahunan, sebaliknya menjadi wadah penting untuk memperkukuh ukhuwah dan memupuk penghayatan sunnah Rasulullah SAW dalam kehidupan seharian.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Datuk Jaffari Waliam, berkata perjuangan dan akhlak Rasulullah SAW perlu dijadikan pedoman utama umat Islam dalam menghadapi pelbagai cabaran semasa.

“Maulidur Rasul harus mengingatkan kita bahawa kejayaan umat bukan hanya diukur melalui kemajuan fizikal, tetapi juga kekuatan iman, akhlak dan perpaduan. Selagi kita berpaut pada akhlak mulia Rasulullah SAW, masyarakat akan terus kuat dan bersatu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sambutan Maulidur Rasul SAW 1447H/2025M di Surau Al-Firdaus, Kampung Sinar Harapan Batu 24, di sini pada Ahad.

Jaffari turut menyeru generasi muda agar mencontohi keperibadian Rasulullah SAW, khususnya nilai amanah, disiplin dan kecintaan terhadap ilmu.

Katanya, sikap itu menjadi asas penting dalam membina masyarakat harmoni, maju dan berdaya saing.

“Apabila masyarakat berpegang pada ajaran Rasulullah SAW, kita mampu membentuk komuniti yang lebih kukuh serta memperteguh perpaduan ummah di negeri ini,” katanya.

Jaffari turut mengajak rakyat terus memberi sokongan kepada kerajaan hari ini bagi memastikan kesinambungan pembangunan, kestabilan politik serta kesejahteraan rakyat di Sabah.

“Sokongan padu daripada rakyat amat penting untuk kita meneruskan agenda pembangunan dan memastikan nikmat kemajuan dapat dirasai bersama, khususnya masyarakat luar bandar,” katanya.

Pengerusi Surau Al-Firdaus, Yusuf Syukur beekata, sambutan kali ini mendapat sokongan padu masyarakat setempat, termasuk daripada Datuk Jaffari sendiri, sekali gus mencerminkan kecintaan umat Islam terhadap junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Acara turut dimeriahkan dengan bacaan selawat dan qasidah oleh pelajar Tahfiz Imam Ghazali selain ceramah agama disampaikan oleh Ustaz Mohd Nurzilan yang menyentuh kepentingan meneladani akhlak Rasulullah SAW.-pr/BNN