BINGKOR: Rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N.40 Bingkor terus menyatakan sokongan padu terhadap Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dengan berikrar memastikan kemenangan besar calon parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 akan datang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor, Datuk Robert Tawik @ Nordin, dilihat berjaya menzahirkan kepimpinan berjiwa rakyat melalui pelaksanaan pelbagai projek pembangunan dan kebajikan yang memberi manfaat langsung kepada masyarakat setempat.

Penduduk menzahirkan keyakinan kepimpinan beliau mampu mempertahankan kerusi DUN Bingkor untuk GRS, selaras dengan rekod pencapaian yang telah dibuktikan sejak beberapa tahun lalu.

Antara inisiatif yang sudah dilaksanakan termasuk pembangunan infrastruktur asas, program kesejahteraan masyarakat serta bantuan kepada golongan berpendapatan rendah. Usaha ini jelas memperlihatkan komitmen kerajaan negeri melalui GRS dalam memastikan rakyat Bingkor tidak ketinggalan menikmati arus pembangunan.

Walaupun parti lawan termasuk Warisan cuba membawa aspirasi mereka melalui program yang diadakan di Bingkor baru-baru ini, ia tidak menggugat keyakinan penduduk. Sebaliknya, rakyat semakin bersemangat mempertahankan kepimpinan GRS yang dianggap konsisten membela kepentingan mereka.

Slogan “Bingkor Membangun Bersama Rakyat” yang diperkenalkan pimpinan GRS kini bukan lagi retorik, sebaliknya menjadi kenyataan hasil kerjasama erat antara kerajaan dan rakyat.

Dengan semangat kebersamaan ini, rakyat Bingkor yakin kesinambungan pembangunan hanya dapat dipacu melalui kerajaan GRS yang terbukti berupaya melaksanakan agenda pembangunan menyeluruh untuk kesejahteraan rakyat.-pr/BNN