TAMBUNAN: Derasnya arus banjir yang meruntuhkan jambatan utama di Kampung Widu dan Kampung Piolungan tidak hanya menjejaskan akses penduduk, malah mencetuskan keresahan ratusan keluarga yang terputus hubungan.

Namun, kehadiran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tambunan, Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey G. Kitingan, yang juga Timbalan Ketua Menteri I, memberi kelegaan dan harapan baharu kepada masyarakat setempat.

Lawatan beliau pagi tadi bukan sekadar meninjau kerosakan, tetapi turut membawa sokongan moral dan bantuan segera kepada penduduk yang terkesan.

Turut bersama ialah wakil Pejabat Daerah Tambunan, UPPM Tambunan, Jabatan Kerja Raya (JKR), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Kebajikan, Ahli Jawatankuasa JPBD Tambunan, PWR, kakitangan Parlimen P.180 Keningau, AJK Bahagian STAR Sabah N.39, Wiramuda STAR Tambunan, ketua masyarakat serta penduduk kampung.

Sebagai langkah pantas, pelbagai bentuk bantuan disalurkan, termasuk minyak petrol dan diesel bagi kenderaan terkandas, barangan asas untuk keluarga terjejas, kemudahan pengangkutan pesakit ke hospital serta insentif khas untuk pelajar yang terpaksa berulang-alik dalam keadaan serba kekurangan.

Dr. Jeffrey turut merakamkan penghargaan kepada pihak swasta dan individu prihatin, khususnya Syarikat Kim Teck Cheong menerusi Pengarah Eksekutifnya, Datuk Dexter Lau, yang tampil menyalurkan sumbangan kepada penduduk.

“Saya berharap segala bantuan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban rakyat yang terkesan. Kehadiran pemimpin di sisi rakyat pada saat getir adalah bukti kepimpinan sebenar. Saya juga berdoa agar kerja-kerja membaik pulih jambatan dapat diselesaikan segera demi kesejahteraan semua,” katanya.

Majlis penyerahan bakul makanan dan keperluan asas menutup lawatan yang penuh emosi itu, dengan penduduk menzahirkan rasa syukur atas kesudian Dr. Jeffrey turun padang meskipun jadualnya padat.

Bagi masyarakat setempat, kunjungan ini bukan sekadar lawatan rasmi, tetapi lambang kasih seorang pemimpin yang berdiri teguh bersama rakyat ketika mereka paling memerlukan.-pr/BNN