PUTATAN: Sekolah Pendidikan Khas (SKPK) Tuaran mencatat sejarah tersendiri apabila berjaya menganjurkan Program Semarak Merdeka Malaysia MADANI 2025 Peringkat Zon 6 Sabah, sekali gus mengangkat martabat murid berkeperluan pendidikan khas (MBPK) ke tahap nasional.

Buat julung kali, SKPK Tuaran berganding tenaga bersama SKPK Kota Kinabalu menghimpunkan lebih 325 peserta melibatkan murid MBPK, guru, ibu bapa dan komuniti dalam program penuh patriotisme sempena sambutan bulan kebangsaan.

Program yang berlangsung meriah itu menampilkan pelbagai pameran dan aktiviti interaktif, termasuk demonstrasi pertahanan oleh Angkatan Tentera Malaysia, pameran hidupan liar daripada Taman Hidupan Liar Lok Kawi serta SERATU AATAI, inovasi sains dan robotik daripada Universiti Malaysia Sabah (UMS) serta Hub STEM IPGM Kampus Kent.

Perpustakaan Negeri Sabah Cawangan Tanjung Aru turut menyemarakkan budaya membaca, manakala sumbangan seni budaya diperkaya oleh Akademi Seni dan Teknologi Kreatif (ASTiF) UMS.

Majlis penutupan disempurnakan oleh Penolong Pengarah Kanan, Sektor Pendidikan Khas JPN Sabah, Puan Roselind Sakai, yang memuji kekuatan kolaborasi antara sekolah, ibu bapa, agensi kerajaan, NGO dan masyarakat dalam menjayakan program tersebut.

“Kita tidak lagi melihat murid pendidikan khas sebagai kelompok tersisih, sebaliknya diraikan, diangkat martabatnya dan diberi ruang untuk menyinar dengan bakat serta semangat mereka. Inilah sebenarnya erti kemerdekaan,” katanya dalam ucapan yang disambut tepukan gemuruh.

Program itu turut disifatkan sebagai sebuah pesta keluarga besar apabila ibu bapa hadir bersama anak-anak MBPK, menzahirkan semangat kasih sayang dan kebersamaan selaras dengan tema Malaysia MADANI “Rakyat Disantuni”.

Dengan penganjuran yang tersusun dan penuh makna, SKPK Tuaran kini muncul sebagai ikon kecemerlangan pendidikan khas Malaysia, membuktikan bahawa sekolah pendidikan khas mampu menganjurkan program berprestij bertaraf nasional serta menjadi inspirasi kepada seluruh negara.-pr/BNN