KOTA KINABALU: Parti Maju Sabah (SAPP) mendakwa Kementerian Kewangan (MoF) Persekutuan mengabaikan isu sebenar yang menjejaskan ekonomi negara apabila terus memperluaskan pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), sebaliknya memindahkan beban kewangan kepada rakyat dan peniaga.

Ketua Penerangan SAPP, Chin Vui Kai berkata, rakyat kini semakin tertekan dengan pelbagai bentuk cukai tambahan yang disifatkan sebagai “suka suka tax” kerana dikenakan secara meluas tanpa menyelesaikan punca masalah sebenar.

“MoF menjadikan kemasukan melimpah barangan asing yang dijual melalui platform dalam talian sebagai alasan untuk meneruskan Cukai Barangan Nilai Rendah (LVGT).

Namun, sepatutnya tarif import dan penguatkuasaan sempadan yang lebih kukuh digunakan sebagai instrumen utama bagi mengekang perdagangan dalam talian asing yang tidak adil,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau menegaskan, langkah kerajaan itu hanya mengambil jalan mudah dengan memindahkan kos kepada pengguna dan peniaga tempatan, khususnya pengusaha kedai fizikal yang kini berdepan peningkatan kos operasi.

Menurutnya, kebimbangan itu turut disuarakan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Bersatu Sabah (SUCCC) yang memberi amaran mengenai beban SST tambahan terhadap jualan dan sewaan, manakala Persekutuan Pengilang Malaysia (FMM) Cawangan Sabah menekankan cabaran daripada kos buruh serta pematuhan.

Selain itu, katanya, tekanan rantaian bekalan dan logistik semakin menjejaskan keupayaan kedai untuk bertahan, manakala sektor swasta di Sabah terus terhimpit dengan pelbagai dasar persekutuan termasuk kenaikan kos gaji, pematuhan dan pentadbiran.

“Setiap caj tambahan ke atas peniaga akhirnya dipindahkan kepada rakyat, menyebabkan harga barangan keperluan harian semakin mahal. Peniaga yang tidak mampu menanggung cukai baharu dan kos tinggi pula pasti terpaksa menutup kedai,” tegasnya.

Chin menambah, pelaksanaan dasar percukaian sedemikian jelas membuktikan kegagalan MoF untuk menangani isu pokok, sebaliknya hanya mengutip hasil dengan cara yang membebankan rakyat.

“Suka suka tax bukanlah penyelesaian, sebaliknya bukti kegagalan dasar,” katanya.-pr/BNN