KOTA KINABALU: Parti Progresif Sabah (SAPP) menegaskan politik toksik yang dibangkitkan oleh Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, bukanlah budaya politik masyarakat Sabah, sebaliknya diimport dari Semenanjung.
Ahli Majlis Tertinggi SAPP merangkap Naib Ketua Pemuda, Peguam Yong Yit Jee berkata, Sabah dan Sarawak sejak sekian lama menjadi contoh perpaduan serta keharmonian, di mana masyarakat pelbagai kaum hidup bersama dalam suasana aman tanpa mengira latar belakang agama dan etnik.
“Rakyat Sabah tidak perlu diajar mengenai perpaduan oleh ahli politik Kuala Lumpur kerana kita telah mengamalkannya turun-temurun. Politik toksik yang disebut sebenarnya datang dari Malaya, bukan dari bumi Sabah,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Menurut beliau, sekiranya parti-parti politik Semenanjung benar-benar serius menolak budaya politik toksik, mereka tidak sepatutnya bertanding dalam pilihan raya negeri Sabah serta berhenti datang dengan sikap ‘tuan’.
“Hormat yang sebenar adalah membiarkan rakyat dan parti-parti Sabah memilih kerajaan mereka sendiri tanpa campur tangan luar,” tegasnya.
Yong turut mempersoalkan rekod pentadbiran Kerajaan Madani pimpinan Pakatan Harapan dan menegaskan Nurul Izzah sepatutnya menilai kegagalan gabungannya sendiri sebelum bercakap soal penyelesaian.
Antaranya, katanya, Rang Undang-Undang Pembaharuan Bandar (URA) yang dibentangkan bulan lalu menimbulkan kebimbangan serius kerana membolehkan pihak berkuasa persekutuan dan pemaju merampas rumah dengan hanya 75 peratus persetujuan bagi bangunan berusia lebih 30 tahun.
“Undang-undang itu bukan sahaja menawarkan pampasan yang kabur, malah mengabaikan perlindungan undang-undang kepada pemilik untuk mencabar keputusan di mahkamah serta memberi kuasa melampau kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Persekutuan. Jika dilaksanakan, ia akan memusnahkan komuniti dan memaksa keluarga kehilangan kediaman mereka,” katanya.
Yong turut membidas langkah kerajaan mengenakan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang digelar sebagai “Suka-Suka Tax” serta pelaksanaan cukai terhadap NGO, yang menurutnya hanya menambah beban kepada rakyat biasa.
“Sabah tidak memerlukan retorik kosong atau beban baharu, sebaliknya penyelesaian sebenar yang lahir daripada pemimpin tempatan yang bertanggungjawab sepenuhnya kepada rakyat Sabah, bukannya kepada ketua parti di Putrajaya,” katanya.-pr/BNN





